Dengan hasrat untuk membawa ilmu dan pemikiran Sasterawan Negara (SN) supaya dikongsi dengan orang ramai khususnya komuniti sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil inisiatif mewujudkan program Sepagi Bersama Sasterawan Negara bertujuan mendekatkan masyarakat dengan tokoh-tokoh sastera negara melalui sesi santai dan interaktif.
Menerusi program tersebut, masyarakat berpeluang mendalami pemikiran, pengalaman, dan karya-karya SN yang banyak menyumbang kepada perkembangan kesusasteraan Melayu.
Antara objektif program tersebut adalah meningkatkan apresiasi masyarakat terhadap sastera melalui SN.
Program tersebut juga bertujuan menyediakan platform interaksi antara SN dan masyarakat, selain menyemarakkan kegiatan bahasa dan sastera yang sekali gus memupuk rasa megah bahasa dalam kalangan masyarakat.
Sejak dianjurkan tahun lepas, setakat ini lima SN sudah dibawa kepada masyarakat yang kebanyakannya diadakan di Kebun Puisi Bangi, sebuah kawasan persendirian berkonsepkan resort kampung dengan persekitaran yang sesuai untuk menganjurkan program kecil kecilan dan kemudahan yang lengkap,
Program tersebut juga mendapat kerjasama Benevolent Malaysia sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tertumpu kepada aktiviti kebajikan.
Menurut Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Abang Haliman Abang Julai, program tersebut bukan sahaja bertujuan mendekatkan pemikiran dan karya serta sosok tubuh SN kepada masyarakat tetapi memasyarakatkan sastera.
Ia bagi memperkenalkan karya sastera yang dihasilkan SN kepada masyarakat.
“Tidak semua daripada kita tahu akan karya karya sasterawan negara,” ujarnya.
Beliau juga berharap peserta atau jemputan memanfaatkan tips-tips berkarya yang dikongsikan SN sepanjang program itu.
Beliau berkata, program mengetengahkan SN kepada orang ramai juga boleh dianggap satu pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam bidang sastera dan penulisan.
Malah pengalaman menghasilkan karya yang dikongsikan oleh SN dalam program tersebut sesuai untuk dijadikan panduan oleh bakal penulis dalam menghasilkan karya.
Setakat ini SN yang terlibat ialah SN Datuk Dr. Anwar Ridhwan, SN Prof. Muhammad Haji Salleh, SN Datuk Dr. Zurinah SN Hassan, Datuk Dr. Siti Zainon Ismail dan SN Datuk Dr. Rahman Shaari.
Oleh itu, golongan muda yang berminat menjadi penulis mapan sewajarnya mengambil peluang menghadiri program tersebut kerana perkongsian pengalaman yang diadakan dalam suasana santai boleh dijadikan tips menjadi penulis, apatah lagi suasana persekitaran yang tenteram dan damai mampu mencetuskan semangat berkarya.
Menurut Abang Haliman lagi, pihaknya tidak memberi jemputan khusus kerana bidang sastera mempunyai segmen peminat sendiri dan terpulang kepada golongan tersebut merebut peluang untuk hadir.

Peluang bertemu SN itu, kata beliau wajar direbut kerana usaha menjemput mereka sering berdepan kekangan masa.
Pertemuan fizikal lebih sesuai meski pun boleh diadakan secara dalam talian bagi mendekat sastera dan sasterawan kepada masyarakat.
Setakat ini, daripada 15 tokoh sastera yamg sudah dinobatkan SN ada yang telah meninggal dunia manakala selain ada yang berdepan masalah kesihatan.
Maka bagi membolehkan semangat sastera yang sudah dinyalakan sumbunya oleh DBP tidak malap atau padam, DBP kata beliau mungkin, mencadangkan program yang sama tetapi tidak semestinya melibatkan golongan SN sahaja, sebaliknya penerima SEA Write Award atau juga karyawan prolifik termasuk golongan muda boleh ditampilkan.
“Malah kita bercadang memperkenalkan karya terjemahan supaya hasil penulisan karyawan tempatan boleh dibaca ke peringkat antarabangsa dan akan mencalonkan seorang penulis untuk Hadiah Nobel (kesusasteraan),” ujarnya.
Beliau turut berharap supaya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sastera membantu pengembangan sastera tanah air selain universiti atau institusi pendidikan yang membantu menganjurkan aktiviti sastera dan penulisan.
Bagi Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan.DBP, Rodziah Md. Yunus, pengiktirafan negara terhadap golongan pemikir dan pengkarya sastera bermakna nilai dan kredibilit tokoh- tokoh tersebut tinggi di mata masyarakat apatah lagi bidang sastera bukan sahaja pencorak zaman tetapi penggerak tamadun bangsa.
Sementara itu, Rahman yang baru-baru ini terlibat dalam program tersebut bagi siri kelima berharap mereka yang ingin menjadi pengkarya perlu ada disiplin menulis dan karya hendaklah menambat atau ‘tersangkut’ dalam pemikiran pembaca.

Kata beliau, kalau mereka berkarya seperti biasa biasa sahaja maka pembaca hanya membaca secara biasa tanya ada rasa tersangkut dalam benak mereka.
Rahman yang banyak menulis puisi dan menghafal 487 puisi turut menitipkan pesanan supaya mereka yang mahu terlibat dalam penulisan puisi mesti banyak membaca hasil karya, menyemak puisi berkenaan beberapa kali bagi mencari kelemahan dan memerbaikinya sehinggalah tidak lagi menemukan sebarang kelemahan sampai akhirnya berpuas hati dan kemudian meminta rakan membacanya.
Rahman memberitahu, dia pada mulanya terlibat dalam bidang drama pentas dan penulisan novel memperkenalkan teori anjakan makna dan teori kekenalan serta persembahan deklamasi puisi sambil berlakon atau puisi artistik.
Maka jika DBP mahu menampilkan bukan daripada golongan SN dalam program tersebut atau seumpamanya, mungkin penerima SEA Write Award penulis prolifik atau penerima Anugerah Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) boleh ditampilkan. – UTUSAN









