Pizza adalah makanan popular sebagai snek untuk mengalas perut kosong ketika sibuk atau dinikmati ketika berkumpul santai bersama rakan atau keluarga.
Menu pizza kini terus berkembang dengan aneka cita rasa tetapi semestinya resipi tradisional khususnya dari Naples, Itali, iaitu negara asal pizza dihasilkan adalah yang terbaik.

Bagi penggemar pizza, mereka boleh nikmati pizza dari Naples yang dibawakan ke Kuala Lumpur oleh Pizza Duo iaitu Pizzeria Neapolitan tempatan yang membuka cawangan utama di The Campus, Ampang.
Pizza Duo adalah babak baharu dalam dunia pizza Neapolitan moden, di mana teknik tradisional bersatu dengan kreativiti kontemporari dan cita rasa eksperimental.
Pemiliknya, pasangan suami isteri, Mark Lee dan Aina Ghani, membawa cita rasa pizza ke tahap lebih tinggi khusus untuk penggemar pizza di negara ini.
Bermula dengan minat bersama terhadap seni pembuatan pizza, kini Pizza Duo berkembang sebagai sebuah pizzeria kelahiran Malaysia dan antara nama paling menarik dalam dunia pizza Neapolitan moden.
Idea membuka Pizza Duo bermula dengan satu pengembaraan pizza merentasi Piedmont, Itali, di mana Mark mengatur lawatan ke beberapa pizzeria yang menerima penarafan 90 ke atas dalam senarai Gambero Rosso, iaitu setaraf dengan Michelin Guide di Itali.

Dengan kurang daripada 50 pizzeria di seluruh Itali yang mencapai penarafan sebegitu, ia menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan dalam mendalami seni pembuatan pizza.
“Kami singgah di pelbagai pizzeria. Ada yang mengekalkan gaya tradisional Neapolitan dan ada pula lebih moden. Kami benar-benar mengkaji seni ini untuk memahami sejauh mana pizza boleh diolah,” kongsi Mark Lee.
Semangat pasangan itu untuk membawa pizza ke tanah air bermula apabila dunia seolah-olah terhenti lima tahun lalu, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengasas Bersama Pizza Duo, Aina Ghani berkata, mereka memang gemar makan pizza, tetapi waktu PKP, mereka mula membuatnya sendiri.
“Apa yang bermula sebagai eksperimen santai akhirnya membuka mata kami kepada ketelitian teknikal yang diperlukan dalam membuat pizza, daripada fermentasi doh dan kelembapan hingga kawalan suhu.
“Kami mula menjemput rakan-rakan untuk sesi mencuba pizza di rumah, menyediakan sehingga 10 variasi berbeza sebelum membuka restoran pizza pertama kami di Bamboo Hills,” katanya.
Komitmen mereka terhadap keaslian pizza tidak berhenti di situ. Setiap musim panas, Aina dan Mark menjalani latihan formal di Naples, bekerja bersama pizzaiolo Itali untuk menguasai teknik sebenar Neapolitan daripada hidrasi doh hingga ketepatan suhu oven.
Musim-musim panas di Itali inilah yang menjadi asas kepada teknik mereka, mengubah minat menjadi kemahiran. Hari ini, ilmu itu diserap dalam setiap hasil ciptaan mereka yang menjadi titik pertemuan antara tradisi Itali dan sentuhan Malaysia.
Meneruskan kejayaan di Bamboo Hills, pembukaan Pizza Duo The Campus menandakan evolusi jenama ini daripada kaunter kecil kepada restoran utama dengan menggunakan ramuan-ramuan halal dan bebas alkohol.
Ketuhar legenda tambah keenakan pizza
Tumpuan utama restoran ini adalah dua ketuhar Stefano Ferrara yang dibuat khas, menjadikan Pizza Duo pizzeria pertama di Malaysia yang menampilkan sepasang ketuhar legenda ini.
Dihasilkan dengan teliti secara buatan tangan di Naples dan dihantar terus ke Ampang, ketuhar ini terkenal di seluruh dunia kerana ketepatan, pengekalan haba, dan karakter Neapolitan yang tiada tandingan. Ia melambangkan generasi ilmu Itali dan menjadi nadi di sebalik setiap kerak sempurna Pizza Duo.

Di The Campus, Pizza Duo memperkenalkan Tutto menu yang diperluas hasil inspirasi daripada minat bersama terhadap pengembaraan dan masakan Itali, diterjemahkan dalam koleksi hidangan utama yang menyenangkan, pasta buatan tangan dan pencuci mulut yang mewah.
Antara hidangan istimewa termasuk Spicy Crab Fettuccine, versi moden arrabbiata klasik yang menggabungkan isi ketam manis dengan sos tomato pedas buatan sendiri yang menyelerakan, lambang keunikkan pizza di sini.
Penggemar itik, boleh mencuba Spiced Duck Rigatoni yang menampilkan daging cincang chorizo itik dalam sos Rosa berkrim dan disempurnakan dengan stracciatella dari Naples, dibakar hingga sempurna untuk gabungan rasa pedas dan segar.
Tidak lengkap hidangan pizza tanpa menikmati kopi
Di dalam Pizza Duo The Campus, bar espresso luar yang dinamakan Caffè Duo menangkap intipati kehidupan kafe Itali, tempat di mana seni, budaya dan keakraban bersatu.
Di Itali, barista bermaksud penyaji minuman dan kepelbagaian ini diterjemahkan dalam program minuman Caffè Duo. Dari espresso klasik hingga Soda Cremosas dan Sips istimewa, menu ini meraikan seni barista moden yang direka untuk melengkapi sajian Pizza Duo sambil membangkitkan suasana ceria musim panas Itali.
Bagi Aina dan Mark, Pizza Duo bukan sekadar mengenai pizza tetapi semangat dan kegembiraan mencipta sesuatu yang menyatukan orang ramai.
Perjalanan mereka dari Naples ke Kuala Lumpur adalah kisah eksperimen yang menjadi kepakaran, tradisi Itali yang ditafsir semula dengan sentuhan Malaysia. Rasai pengalaman Pizza Duo di cawangan utama mereka di The Campus, Ampang, tempat di mana semangat, tradisi dan inovasi berpadu dalam setiap hidangan.










