KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menerima purata 600 aduan membabitkan isu pembinaan dan ubah suai rumah setahun sejak tujuh tahun lalu.
Ketua Eksekutif CIDB, Zainora Zainal berkata, dalam tempoh tersebut pihaknya menerima sebanyak 3,201 aduan membabitkan dua isu berkenaan, menjadikannya antara aduan tertinggi diterima CIDB.
Beliau berkata, pada 2024 sahaja, sebanyak 564 aduan diterima, manakala sehingga Oktober lalu sebanyak 367 aduan direkodkan.
Katanya, melalui CIDB Careline dan Sistem eBantuan, CIDB menerima banyak aduan mengenai cabaran dan masalah dihadapi pemilik rumah ketika melaksanakan projek bina atau ubah suai rumah.
Kes-kes lain membabitkan pelanggaran perjanjian kontrak sebanyak 130 kes, kualiti pembinaan tidak memuaskan (86), kontraktor tidak berdaftar (50), kacau ganggu (22), dan beberapa lagi kes membabitkan kegagalan memastikan keselamatan, tunggakan bayaran dan kegagalan mematuhi standar bahan binaan.
“Kita ambil maklum jumlah kes yang di adu ke CIDB bukan lah jumlah yang komprehensif, malah banyak kes lain turut sampai ke Tribunal Tuntutan Pengguna, ke wakil rakyat, malah tular di media sosial.
“Pada tahun 2022, kita memperkenalkan CIDB Standard Form of Contract for Renovation and Small Projects, satu perjanjian untuk membantu pemilik rumah dan kontraktor mengikat perjanjian yang jelas, adil dan mudah difahami,” katanya berucap pada Majlis Pra-Pelancaran Program “Jom Bina Sempurna” di Dewan Tun Ismail, Pusat Dagangan Dunia di sini, hari ini.
Zainora berkata, program itu sebagai inisiatif pendidikan dan kesedaran awam mengenai hak-hak pemilik rumah dalam proses pembinaan dan pengubahsuaian.
“Program ini bertujuan menangani isu keselamatan, mengurangkan penipuan, memastikan kualiti kerja yang baik, meningkatkan keyakinan terhadap kontraktor berdaftar serta membina ekosistem perumahan yang harmoni, berintegriti dan beretika.
“Kita merancang untuk memperluaskan lagi kandungan interaktif termasuk mengkaji potensi pembangunan aplikasi khas untuk membantu orang awam mendapatkan maklumat dan sokongan berkaitan bina dan ubah suai rumah di seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.
Katanya, “Jom Bina Sempurna” mempunyai dua komponen utama iaitu hab informasi yang mengandungi panduan untuk pemilik rumah dan kontraktor, 100 soalan lazim, capaian maklumat PBT seluruh negara, akses kepada Borang Kontrak CIDB.
Komponen kedua pula, laman Facebook “Jom Bina Sempurna” diwujudkan bagi menjadi sebuah platform konten pendidikan berkaitan bina dan ubah suai rumah.
Zainora turut mempelawa PBT, agensi kerajaan, badan profesional serta persatuan industri menjadi rakan strategik dalam menyebarkan maklumat program itu dan memberikan input kepakaran.
“Harapan kami, melalui program seperti ini, masyarakat lebih berpengetahuan dan lebih bersedia sebelum memulakan projek pembinaan rumah.
“Secara tidak langsung, kita dapat mengurangkan kes-kes penipuan dan memastikan kualiti pembinaan yang lebih baik,” katanya.











