Cabaran politik, ekonomi ujian pertama Sanae Takaichi

Cabaran politik, ekonomi ujian pertama Sanae Takaichi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH dua kali mencuba, Sanae Takaichi akhirnya berjaya melakar sejarah baharu buat Jepun apabila dipilih sebagai Perdana Menteri wanita pertama negara itu.

Pemimpin berusia 64 tahun itu meraih majoriti mudah 237 undi daripada 456 kerusi di Dewan Rendah, menewaskan beberapa calon lain termasuk daripada Parti Demokratik Perlembagaan (CDP), Yoshihiko Noda.

Dikenali sebagai tokoh konservatif tegas dan dianggap pelindung ideologi mendiang bekas perdana menteri Shinzo Abe, Takaichi dipilih mengetuai Parti Liberal Demokratik (LDP) pada 4 Oktober, sekali gus membuka laluan ke jawatan tertinggi dalam pentadbiran Jepun.

Namun, pelantikannya ke jawatan tertinggi itu hampir tergugat selepas perikatan 26 tahun antara LDP dan Komeito dibubarkan secara mengejut pada 10 Oktober lalu.

Hanya 10 hari kemudian, LDP membentuk pakatan baharu bersama Parti Inovasi Jepun (JIP) berhaluan tengah-kanan yang berpangkalan di Osaka, juga dikenali sebagai Nippon Ishin no Kai.

Walaupun berjaya memperoleh majoriti undi bagi jawatan perdana menteri, Takaichi kini mengetuai kerajaan minoriti, kerana gabungan LDP-JIP masih belum mencapai majoriti penuh dalam kedua-dua dewan Parlimen.

Bekas menteri kerajaan dan pengacara televisyen itu bukan sahaja perlu memimpin parti yang sedang memulihkan keyakinan pengundi selepas beberapa skandal serta menangani kebangkitan sayap kanan.

Bahkan, beliau juga perlu mengetuai negara yang sedang berdepan suasana ekonomi perlahan, kemerosotan kadar kelahiran dan peningkatan ketegangan geopolitik.

Dilahirkan di wilayah Nara pada 1961, Takaichi membesar dalam keluarga yang jauh daripada dunia politik, dengan bapanya bekerja sebagai kakitangan pejabat dan ibu merupakan seorang anggota polis.

Beliau menceburi arena politik Jepun pada 1990-an sebagai ahli LDP, parti yang sekian lama memerintah negara itu.

Takaichi pernah berkhidmat dalam beberapa Kabinet mendiang Abe serta di bawah pemerintahan terdahulu di bawah Fumio Kishida.

Beliau pernah dilantik menjadi Menteri Keselamatan Ekonomi, Menteri Negara bagi Perdagangan dan Industri serta rekod pemegang jawatan terpanjang sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi.

 

PEMINAT MUZIK HEAVY METAL
Di sebalik latar belakang politiknya, Takaichi juga pernah menjadi pengacara televisyen dan pemain dram dalam sebuah kumpulan heavy metal, menjadikannya tokoh yang unik dan sering menarik perhatian media Jepun.

Sejak zaman kolej, beliau peminat tegar kumpulan seperti Black Sabbath dan Iron Maiden, malah sehingga kini masih memiliki set dram elektrik di rumah.

“Saya bermainnya selepas suami tidur,” selorohnya dalam satu temu bual baru-baru ini dengan seorang YouTuber Jepun.

Inspirasi politiknya muncul pada 1980-an ketika ketegangan perdagangan antara Jepun dan Amerika Syarikat (AS) memuncak.

Tekad memahami pandangan orang Amerika terhadap Jepun, Takaichi bekerja di pejabat ahli Kongres Patricia Schroeder, yang terkenal dengan kritikan terhadap negara itu.

Beliau menyedari ramai orang AS sering keliru antara bahasa dan budaya Jepun, China dan Korea Selatan.

Takaichi bertanding dalam pilihan raya Parlimen pertama pada 1992 sebagai calon bebas tetapi tewas.

Beliau tidak berputus asa, sebelum memenangi kerusi setahun kemudian dan menyertai LDP pada 1996.

Sejak itu, beliau dipilih sebagai ahli Parlimen sebanyak 10 kali, hanya tewas sekali, dan membina reputasi sebagai suara konservatif paling lantang dalam parti.

Pada 2021, Takaichi pertama kali menyertai pemilihan kepimpinan LDP tetapi tewas kepada Kishida.

Beliau mencuba sekali lagi pada 2024 dan berjaya mendahului pusingan pertama undian sebelum kalah kepada Shigeru Ishiba.

Percubaan ketiganya tahun ini akhirnya membuahkan hasil selepas kemenangannya disahkan oleh Parlimen.

Bagaimanapun, jalan Takaichi menuju kemenangan bukanlah mudah, malah beliau juga masih berdepan banyak cabaran dan ketidaktentuan.

Beliau kini menjadi Perdana Menteri keempat Jepun dalam tempoh lima tahun, yang mengambil alih pentadbiran daripada kedudukan agak goyah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×