Ada sesuatu yang menarik apabila kisah agung yang menjadi teras kepada peradaban Melayu seperti naskhah Sulalatus Salatin dipentaskan semula di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini.
Produksi berskala besar itu diterbitkan oleh CTRA Production dengan kerjasama Persatuan Bangsawan Bintang Timur, serta mendapat sokongan DBP, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka dan Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur.
Menggabungkan lebih 140 tenaga produksi dan pelakon, pementasan tersebut mengujakan penonton kerana ada nilai-nilai sejarah yang terkandung di dalamnya dan merupakan satu pengalaman teater yang menggabungkan elemen dramatik, muzik dan tarian dalam suasana penuh keindahan sejarah Melayu.
Penerbitnya, Siti Rohayah Attan berkata, naskhah itu diangkat ke seni pementasan sebagai sebahagian daripada Program Kepengerusian ASEAN 2025 bagi memperkukuh seni persembahan tempatan yang berteraskan warisan dan jati diri bangsa.
Teater arahan Zaifri Husin daripada skrip tulisan Siti Jasmina Ibrahim, Siti Rohaya dan Ezee Klasik memberi nafas baharu kepada karya klasik ini, menjadikannya bukan sekadar hiburan tetapi wadah menyemai semangat kebangsaan dan cinta kepada sejarah bangsa.
Antara barisan pelakon utama ialah Nabila Huda (Puteri Gunung Ledang), Adam Lee (Sultan Mahmud Syah), Aris Kadir (Raja Iskandar Zulkarnain/Tun Jana Khatib), Zaidi Omar (Demang Lebar Daun), Zera Hariz (Tun Teja) dan Siti Sarah Jamil (Tun Fatimah), dengan penampilan khas Rosli Rahman Adam dan Mubarak Majid.
Teater muzikal berkenaan yang dipentaskan buat kali pertama pada hujung tahun lepas. Naskhah tersebut yang ditranformasikan dalam seni pementasan teater itu bukan sahaja berjaya diangkat daripada naskhah berat yang penuh dengan drama lakonan oleh pendukung watak yang senior dalam seni lakonan tetapi yang menariknya, watak watak yang dibawa pelakon cilik sangat menarik serta wajar diteruskan dan diteladani.
Bermakna pelakon kanak- kanak tidak hanya diserahkan watak lakonan cerita seusia mereka seperti kisah Arnab dan Kura-Kura sebagai contoh dan pelbagai teater kanak kanak yang dipentaskan sebelum ini.
Naskhah berat cerita purba ada peminat sendiri, begitu juga cerita sejarah yang kita tidak pernah bayangkan apa yang berlaku puluhan, malah ratusan tahun dulu.
Sulalatus Salatin (Penurunan segala raja-raja) atau juga dikenali dengan nama Sejarah Melayu merupakan satu karya sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melaka yang ditulis oleh beberapa orang pengarang Melayu.
Namun ada pendapat yang mendakwa apabila pihak Portugis datang menakluk Melaka, salinan Sejarah Melayu telah dibawa ke Goa di tanah India sebelum dibawa balik ke Johor beberapa tahun kemudian oleh orang Kaya Suguh.
Sejarah Melayu ditulis di Melaka dan dibawa bersama semasa Sultan Mahmud Syah berundur dari Melaka pada tahun 1511. Naskhah asal itu kemudian dibawa ke Johor dari Kampar, Sumatera pada tahun 1528. Teks yang turun masa kini merupakan teks yang disalin dipercayai berasal sejak tahun 1356 dan disunting semula pada 1612. Salinan manuskrip yang ada bertarikh 1808.
Dokumen ini dianggap penting kerana ia menerangkan mengenai adat istiadat kerajaan, susunan raja Melayu dan sejarah kerajaan Melayu dan boleh dikatakan menyerupai konsep Sejarah Sahih China iaitu pada setiap pertukaran Dinasti di China. Sejarah dinasti sebelumnya akan ditulis dan disimpan di Arkib Negara tersebut. Atas kepentingan itu, dokumen berkenaan dimasuksenaraikan dalam Warisan Ingatan Dunia UNESCO pada tahun 2001.
Sejarah Melayu dianggap sebagai klasik Melayu yang paling tinggi nilainya dan merupakan sebuah karya sejarah yang terpenting berkait dengan Malaysia.
Perintah Sultan Melaka kepada pengarangnya adalah menulis sebuah buku mengenai keturunan Raja-raja Melayu dan perhubungan mereka dengan negara-negara Asia di sekelilingnya. Tema utama dalam penulisan tersebut berpusatkan Kesultanan Melayu di zaman kegemilangannya.
Keberanian penerbit mementaskan semula (restage) sebuah teater berbentuk purbawara muzikal bertajuk Sulalatus Salatin itu wajar mendapat penghargaan.
Teater tersebut dibiayai oleh DBP menerusi program Dana Geran Sokongan Seni Kebudayaan – GSSK) wajar dipentaskan apatah lagi naskhah karya agung tersevut diiktiraf sebagai Warisan Dunia UNESCO pada 2012 serta sudah mencecah 32 salinan di seluruh dunia.
Ia kali pertama dipentaskan di bawah program Karya Agung anjuran JKKN Melaka bersama Gagasan Anak Seni (GAS) dan CTRA Production pada tahun lalu di Panggung Seni Negara, JKKN Ayer Keroh Melaka yang diarahkan Siti Rohaya, Pengarah Tari oleh Aris Kadir manakala Pengarah Muzik ialah Asry Hasan.
Sebuah naskhah berbentuk purbawara muzikal dan berkisar tentang kemaharajaan maritim yang juga disebut sebagai pertuturan segala Raja-Raja atau Sejarah Melayu.
Skrip teater itu mengangkat kehebatan bangsa dan raja Melayu. Ia diikuti dengan kisah kuda Semberani, Wan Empuk dan Wan Malini berpadikan huma yang berbuah emas, Waadat Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana, kisah Tun Jana Khatib di Temasek, kebijaksanaan
Hang Nadim sehingga Singapura dilanggar todak.
Ia menjadi semakin kronik apabila kisah merajuknya Sang Rajuna Tapa yang mengkhianti Temasik kerana dendam apabila anaknya Hang Nadim dibunuh oleh sultan.
Dipaparkan juga zaman kegemilangan Melaka sehingga berlaku perebutan kuasa yang akhirnya runtuhnya Empayar Melaka.
Jika diperhatikan senarai pelakonnya, terdapat kaum China dan sebilangan ramai kanak-kanak.
Berdasarkan senarai senarai pelakon tersebut, jelaslah bukan mudah mengarahkan teater muzikal berkenaan apatah lagi sebuah naskhah purba yang perlu dibaca dan difahami.
Pengarahnya Zaifri Husin mengakui banyak cabaran mengendalikan pelakon kanak-kanak berkenaan.
“Tetapi komitmen tinggi kalangan kanak kanak sangat membantu kerana banyak cabaran dilalui memerlukan kesabaran sertakomitmen.
“Saya bacakan sinopsis cerita berkenaan kepada mereka supaya mudah menghayati watak,” ujarnya yang mengambil tujuh babak daripada naskhah berkenaan untuk dipentaskan.
Zaifi memberitahu, beliau memberi penekanan dalam beberapa aspek utama iaitu kefahaman tentang watak, pembinaan watak dan kenapa dialog perlu dilontarkan sedemikian
Aspek lain adalah subteks iaitu apa ada di sebalik teks atau apakah yang tersirat di sebalik yang tersurat. Ia diperkuatkan melalui perwatakan, hubungan antara watak, konflik, latar belakang, sejarah.
Kata Zaifri, apabila subteks itu dikenal pasti, maka pelakon akan melafazkan dialog dengan emosi yang tepat, agar maksudnya sampai. Subteks hendaklah dirasai oleh pelakon, dihantar kepada rakan lakon, dan dirasai oleh penonton.
Beliau turut menekankan cara sebutan artikulasi (sebutan jelas), sebutan menerusi suku kata yang perlu jelas sebutannya supaya penonton dapat menangkap maksud dialog yang diucapkan.
“Sebab itu saya memantau setiap (sesi latihan) pelakon,” ujarnya lagi.
Sementara itu, seorang pelakon kanak-kanak Muhammad Aqif Mohamad Rafi, 7, berkata dia rasa tidak susah membawa membawa watak dan gembira dapat berlakon teater berkenaan.
“Tidak susah saya (malah) saya gembira dapat berlakon,” ujarnya.
Teater berkenaan juga menampilkan 11 lagu iaitu yang dipersembahkan semasa pementasan. – UTUSAN









