BUKIT MERTAJAM : Mahkamah Majistret di sini hari ini bersetuju menangguhkan prosiding pendakwaan terhadap seorang lelaki warga Nepal yang didakwa atas pertuduhan membunuh seorang ibu dan anak perempuannya di Kampung Sekolah, Juru di sini, 18 Oktober lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit bagi membolehkan seorang jurubahasa Nepal dilantik memandangkan tertuduh, Dinesh Kumar Mandal, 35, tidak memahami pertuduhan yang dibuat dalam Bahasa Melayu.
Nurul Rasyidah turut menetapkan 26 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan penyediaan khidmat jurubahasa sekali gus membolehkan prosiding disambung semula selain tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh sementara menunggu tarikh tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzli Hassan dan Anis Suhada Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Difahamkan, tertuduh sepatutnya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan hari ini yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian 18 Oktober lalu, kedua-dua mangsa, Sariya Che Hin, 51, dan anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, dijumpai dalam keadaan mengerikan dipercayai akibat dibunuh dengan kejam di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah.
Susulan tragedi itu, tiga lelaki warga Nepal termasuk suspek utama direman bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan berkenaan.










