LANGKAWI: Sebuah bot dipercayai membawa antara 90 hingga 100 pendatang asing tanpa izin (PATI) didakwa karam dengan satu mayat wanita etnik Rohingya ditemukan di perairan ini, semalam.
Enam lagi PATI terdiri daripada warga Myanmar dan Bangladesh turut dijumpai dalam keadaan selamat selepas mereka juga dipercayai hanyut di perairan tersebut.
Bagaimanapun, pihak berkuasa masih menyiasat lokasi sebenar tragedi karam terbabit yang setakat ini dipercayai berlaku di perairan Thailand, sebelum mereka hanyut ke negara ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 9 pagi semalam.
“Terdapat sebuah kapal dagang yang menyelamatkan tiga lelaki Myanmar yang ditemukan hanyut sebelum diserahkan kepada polis.
“Mereka mendakwa telah berlayar dari Myanmar sejak sebulan lalu dengan menaiki kapal besar bersama kira-kira 300 orang yang lain,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ujar Adzli, pada sebelah petang pula, tiga lagi PATI ditemukan terdiri daripada dua lelaki etnik Rohingya dan seorang Bangladesh.
“Mereka juga mendakwa menaiki kapal bersama 300 orang sebelum dipecahkan kepada tiga bot kecil dengan satu bot membawa antara 90 hingga 100 orang ketika menghampiri sempadan.
“Dipercayai hanya satu bot yang karam di laut, manakala keberadaan dua lagi bot belum dapat dipastikan. Lokasi karam masih dalam siasatan, ada kemungkinan berlaku di perairan Thailand. Apa pun, kita masih menyiasat apa sebenarnya yang berlaku,” ujarnya.
Katanya, setiap warga asing terbabit dipercayai membayar kira-kira RM13,000 kepada sindiket sehingga ada antara mereka terpaksa menjual tanah, rumah dan haiwan ternakan.
Jelasnya, polis bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kini sedang menjalankan siasatan lanjut dengan pemantauan serta rondaan giat dilakukan. – UTUSAN








