PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) menegaskan rundingan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) hanya akan dibincang selepas selesai sepenuhnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Setiausaha Agungnya, Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, semua parti komponen mempunyai persefahaman jelas bahawa keutamaan BN ketika ini ialah memastikan PRN Sabah diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang perbincangan melibatkan masa depan gabungan dibuka.
“Kita berikan keutamaan. Semua parti komponen faham perkara ini. Kita sedang berhadapan dengan PRN Sabah, jadi kita selesaikan dulu di Sabah. Itu difahami semua pihak dalam parti.
“Begitulah yang akan ditentukan di peringkat Dewan Tertinggi nanti. Bila (tarikh), saya jangkakan akan ada selepas selesai (pilihan raya) Sabah,” katanya selepas Program Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi 2025, di sini hari ini.
Terdahulu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan, dilapor membentangkan tiga usul, termasuk cadangan untuk meninggalkan gabungan BN dan membuat permohonan menyertai gabungan pembangkang.
Dalam pada itu, Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC). – UTUSAN










