PUTATAN: Menjelang tiga jam tamat kempen Plihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Barisan Nasional (BN) merayu rakyat negeri ini memberi mandat kepada parti itu untuk membentuk kerajaan yang stabil demi masa depan mereka.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN menjanjikan pelbagai tawaran untuk kemakmuran dan pembangunan rakyat Sabah khususnya menyelesaikan masalah tiga serangkai iaitu bekalan air, elektrik dan jalan raya.
Kata Timbalan Perdana Menteri, BN mahu mengembalikan kegemilangan negeri ini seperti mana dicapai ketika pentadbiran parti itu sebelum ini.
“Apa yang ditawarkan oleh Barisan Nasional? Saya sebut apa yang ditawarkan dalam manifesto. Antaranya 15,000 unit rumah mampu milik setiap tahun.
“Seterusnya menyiapkan Lebuhraya Pan Borneo sepenuhnya mengikut jadual tetapi kurang daripada lima tahun,” katanya di Dataran Pomoi, Putatan di sini hari ini.
Mengakui masalah bekalan air di negeri ini masih kritikal, Ahmad Zahid berkata, BN turut berjanji menubuhkan Suruhanjaya Air Negeri Sabah sebagai langkah penyelesaian jangka panjang.
Selain itu, katanya, pendidikan percuma untuk pelajar B40, had maksimum dua penggal jawatan Ketua Menteri serta pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu turut menjadi antara tawaran utama.
Ahmad Zahid berkata, selain itu BN mengemukakan 45 calon berkaliber termasuk 80 peratus muka baharu untuk membawa perubahan kepada landskap politik negeri Sabah.
“Ini yang kita mahukan dan ini yang rakyat Sabah mahukan,” katanya.
Katanya, pemilihan muka-muka baharu itu bukan bertujuan mengetepikan pemimpin lama, sebaliknya diyakini mampu memacu perubahan yang lebih segar dan progresif selaras dengan kehendak rakyat Sabah.
Justeru itu beliau yakin sokongan anak muda yang merupakan majoriti besar pengundi Sabah memilih BN pada pilihan raya ini sekali gus menjadi pencetus gelombang kemenangan parti itu.
“Kita juga percaya anak-anak muda adalah penggerak kepada gelombang biru di negeri Sabah.
“Anak-anak muda adalah lebih 52 peratus pengundi di Sabah. Anak-anak muda adalah penentu kepada kemenangan Barisan Nasional dan penentu kepada penubuhan kerajaan baharu di negeri Sabah. Kita berikan penghargaan kepada seluruh anak-anak muda di negeri Sabah,” katanya.










