KAMPAR: Memulakan perniagaan minuman kopi di rumah, sepasang suami isteri di sini boleh berbangga apabila produk minuman kopi jenama KauPI yang mereka usahakan mendapat sambutan dan digemari ramai.
Nik Muhammad An-Nazhan Nik Zailan dan Aleeya Haqima Zainal Abiddin masing-masing berumur 28 tahun pada mulanya berniaga di rumah mereka di Taman Kampar Putra di sini dan sambutan pelanggan yang memberangsangkan, mendorong mereka menyewa premis Majlis Daerah Kampar (MDKpr).
Kafe mereka terletak berdekatan dengan Air Terjun Batu Berangkai di sini yang merupakan salah satu lokasi Geopark Lembah Kinta dan lokasi Batu Granit Porfiritik di Gunung Bujang Melaka.
Perniagaan Kafe KauPI itu semakin maju dan mereka memperkenalkan konsep pandu lalu untuk memudahkan pelanggan selain mempromosikan produk mereka melalui TikTok.
“Harga produk yang berpatutan selain memperkenalkan kad ganjaran kesetiaan membolehkan peningkatan pelanggan dari semasa ke semasa.
“Selain itu, kami turut memperkenalkan konsep pandu lalu iaitu pelanggan hanya datang untuk mengambil pesanan mereka menerusi WhatsApp dan TikTok.
“Sasaran kami ialah pesanan sebegini kerana ruang premis yang agak terhad untuk makan di kafe selain menyedari trend kini terutama anak muda yang aktif dan cepat,’ kata mereka.
Usaha suami isteri mendapat perhatian Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang banyak memberi dorongan selain memberi peluang kepada mereka menyertai ekspo jualan di negeri ini.
Permohonan untuk mendapat geran daripada kedua-dua agensi kerajaan negeri itu positif yang mampu memperkembangkan lagi perniagaan mereka.
Perkembangan positif itu selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang memberi tumpuan kepada Kampar sebagai kawasan ekopelancongan berpotensi ditonjolkan kelainan, keunikan produk dan kepelbagaian budaya di lokasi-lokasi tumpuan pelancongan yang dapat menjadi sumber tarikan pengunjung dan pelancong.
Inisiatif tersebut turut menepati Flagship Keempat Pertama pelan berkenaan iaitu Koridor TVET Malaysia, Flagship Kelima Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Flagship Kesepuluh Ekonomi Pengalaman yang menjadi tunjang kepada visi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam membawa negeri ke arah kemajuan menyeluruh berteraskan kemapanan dan kesejahteraan rakyat.
Nik Muhammad An-Nazhan berkata, isterinya, Aleeya Haqima aktif membuat ‘live’ di TikTok dan memuat turun video menerusi medium itu setiap hari bagi menarik pelanggan tanpa mengira peringkat umur.
Menurutnya, strategi itu berkesan dan trend sekarang kafe hipster dan produk kopi sememangnya menjadi kegemaran setiap orang termasuk remaja malah masyarakat Orang Asli.
“Kami mempunyai seorang pekerja yang turut dapat mempelajari bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain asas keusahawanan supaya dapat mempunyai perniagaan sendiri kelak,” katanya. – UTUSAN










