“LAHIR dalam keluarga yang dikenali, semua orang perhatikan awak. Orang akan tunggu dan nilai, sama ada awak buat silap atau tak.”
Penyanyi, Dahlia jujur sahaja mengakui kegelisahan dan remuk redam membesar dalam keluarga yang dikenali. Ibunya seorang penyanyi popular, Nora Ariffin, manakala arwah bapanya merupakan komposer dan penulis lagu-lagu hit di Malaysia iaitu Allahyarham Johan Nawawi.
Dahlia atau Putri Dahlia, 21, dibesarkan dalam keluarga yang mencintai muzik, setiap hari duduk di sisi arwah ayah melihatnya bermain piano, sesekali bertemu rakan-rakan keluarga yang juga artis ternama negara.
Namun, populariti selalu hadir dengan harga yang mahal untuk dibayar.
Dari kecil Dahlia sudah merasakan bahawa dirinya selalu diperhatikan dan ruang privasinya lebih kecil berbanding rakan sebaya lain. Segala keinginan dibenam dalam-dalam dan hanya menuruti keinginan orang terdekat.
“Tidak ramai yang faham perasaan membesar dalam keluarga popular. Masyarakat menjangkakan kita sempurna sejak bayi. Dari kecil orang sudah temu ramah kita, ambil gambar sampaikan di tepi jalan pun ada orang ekori.
“Saya akui sebenarnya sedikit rimas dan juga rasa diperhatikan bila keluar dari rumah sendiri. Bayangkan tengah berjalan tiba-tiba ada orang tegur ‘Hai Dahlia’. Ada perasaan tidak selamat sebab orang tahu saya tinggal di mana,” katanya.
Bagaimanapun, kerimasan yang dialami tidak pernah membuat perasaan sayangnya kepada keluarga kecil berganjak sedikit pun.
Dia masih tetap berterima kasih kepada arwah ayah yang mengajarnya bernyanyi dan menasihati dalam muzik ramuan paling utama adalah ‘rasa’.

Siapa sangka, walaupun bapanya telah pergi akibat serangan jantung pada 2017, namun darah komposer telah sebati dalam tubuh. Dahlia bertemu sahabatnya, Yuji, menghasilkan sebuah lagu pada usia 16 tahun dari kamar rumah dengan kelengkapan serba-serbi.
Pada usia sepucuk itu, Dahlia menerusi Old Love menembusi segala lapis pendengar, merentas benua menjadikannya satu-satunya penyanyi Malaysia yang berjaya mencuri hati penyanyi ternama dunia termasuk Jung Kook yang juga Artis Terbaik American Music Awards 2021.
Old Love merakam angka puluhan juta pendengar membuat Putri Dahlia dikenali kerana dirinya, bukan kerana anak seorang Nora.
Jelas Dahlia, dia sendiri tidak pernah membayangkan lagu yang dihasilkan kerana suka-suka boleh menciptakan kejayaan sedemikian rupa, lebih-lebih buat dirinya yang memang menyukai kumpulan BTS.
Dia sempat menjerit gembira tidak percaya muzik yang dihasilkan mempunyai daya memikat sedemikian rupa.
Entah seperti cuba menggenggam sebuah paradoks, Dahlia sebenarnya tidak mahu dirinya dikenali.
Dia hanya suka bermuzik, itu sahaja. Bahkan dia pada awalnya tidak mahupun berada dalam industri seni dan mahu meneruskan cita-cita menjadi seorang guru bahasa Inggeris.
Tapi seberapa bersiur jalan dilalui gadis itu, hujungnya pasti ke muzik juga.

Disuruh mati kerana tidak bertudung
meledak, bukan juga sebab kejutan budaya seperti disangka netizen membuatkan penyanyi itu membuat keputusan tidak lagi bertudung.
Penyanyi Set You Free itu sudah memikirkan untuk mempunyai imej sendiri sejak bertahun-tahun sebelum karyanya popular.
Bagaimanapun, Dahlia mengakui video temu ramah di sebuah acara baru-baru ini telah menimbulkan salah faham besar sedarkan dia tidak bermaksud menyinggung mana-mana pihak apa lagi menyentuh sensitiviti agama.
Nama Dahlia mula diperkata, dijadikan video parodi dan pertama kali dihambat badai kontroversi.
“Pada usia 21 tahun ini, saya sedar bahawa akan buat banyak kesilapan. Saya bukanlah seorang yang berilmu dan tidak sepatutnya bercakap tentang agama. Cuma saya harap orang faham bahawa perjalanan saya ada laluan tersendiri.
“Apapun, saya minta maaf kerana telah membuat banyak kekeliruan dan salah faham. Cuma keputusan tidak lagi bertudung adalah pilihan saya, jangan kaitkan dengan keluarga saya.
“Ada yang cakap ‘mak bapak tak ajarkah?’ Percayalah, mereka sudah ajar saya elok dan baik. Beri segala yang cukup. Cuma sebagai dewasa saya buat keputusan ini. Saya hargai segala nasihat baik yang diberikan semua,” katanya lagi.

Dalam pada itu, anak ketiga daripada empat beradik ini turut mendedahkan menerima ugutan dan makian keterlaluan lantaran keputusannya itu.
“Sampai sekarang saya terima mesej di media sosial meminta saya untuk bunuh diri. Saya cuba untuk tidak baca tapi memang akan terima notifikasi. Mula-mula memang terkejut sampai begitu kebencian saya terima.
“Malah sampai sekarang pun ada sahaja orang akan balas Instagram Story saya dengan panggilan ‘anak syaitan’.
“Saya tidak terdetik mahu lapor polis. Saya cuma anggap mereka itu tidak okay. Tidak mengapalah,” katanya.
Tambah Dahlia, dia boleh menelan semua cercaan, tapi mohon agar masyarakat tidak menyerang mana-mana ahli keluarga termasuklah adiknya yang baru berusia 13 tahun.
“Cuma saya terkilan ada yang pergi serang adik saya cakap saya begitu begini. Perkara itu saya tak boleh terima. Sebab, saya boleh hadapi semua ini, keluarga saya belum tentu.
“Keputusan ini pun saya buat selepas berbincang dan duduk bersama semua ahli keluarga saya. Mereka bukan suruh saya buka, tapi mereka menerima keputusan dan pertimbangan saya dengan sangat matang,” ceritanya.
Tiada lagi Putri Dahlia
Bukan hanya mengubah imej, kini dia hanya ingin dikenali sebagai Dahlia sahaja sebagai penghibur.
Dengan pengalaman sejak kecil, Dahlia mengorak langkah berani menjadi artis independen di bawah label yang diusahakannya sendiri, Dahlia Records.
Album terbaharunya dijangka menemui pendengar Februari tahun hadapan.

“Saya sangat bangga di usia 21 tahun ini saya mempunyai label dan pasukan sendiri. Hala tuju saya dalam bermuzik juga akan lebih berbeza penuh dengan muzik eksperimental.
“Betul saya kini lebih gembira kerana dapat bebas bercerita dalam lagu-lagu saya. Banyak yang saya lalui kehilangan ayah, abang dan banyak episod dalam hidup akan saya ceritakan dalam lagu-lagu saya nanti.
“Sebelum ini ada pihak yang penuh pantang larang tidak mahu saya hasilkan lagu begitu dan begini. Dengan adanya label sendiri, saya memang target untuk jual karya ini kepada pasaran antarabangsa. Oleh itu, kesemua lagu akan dalam bahasa Inggeris melibatkan kolaborasi pemuzik pelbagai etnik,” katanya.
Mengulas mengenai evolusi industri muzik Malaysia yang diimpikan, anak muda ini berharap lebih banyak bakat baharu yang berani menampilkan keunikan diberikan perhatian.
Dahlia menyebut beberapa nama seperti Aisha Retno dan Lucidrari yang memberikan warna baharu dalam karya mereka.
“Artis tidak cukup berbakat sahaja, sebab itu boleh belajar. Kita perlukan yang unik. Identiti dan suaranya tidak boleh disamakan dengan orang lain.
“Gaya nyanyinya berbeza. Semoga lebih ramai penyanyi yang lebih berani bereksperimentasi,” katanya.










