Berbaloi belajar bertudung, Jasmine Suraya wakili Malaysia ke Oscar - Utusan Malaysia

Berbaloi belajar bertudung, Jasmine Suraya wakili Malaysia ke Oscar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“ANUGERAH Oscar adalah impian setiap pembikin dan anak seni,”

Demikian luahan pelakon, Jasmine Suraya, sebaik mengetahui naskhah lakonannya Pavane for an Infant dipilih mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) Ke-98 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), tahun depan.

Jasmine atau Jasmine Suraya Chin Xian Mei, 35, yang kini berada di Amerika Syarikat terkejut ketika dimaklumkan berita itu oleh pihak produksi kerana menurutnya, filem tersebut menyentuh hal-hal taboo yang jarang dibincangkan oleh khalayak secara terbuka.

Menurut Jasmine, walaupun pengarahnya, Chong Keat Aun belum cukup dikenali dalam kalangan peminat filem tempatan, namun jejaka kelahiran Kedah itu mempunyai bakat luar biasa kerana pernah mendapat pengiktirafan di Festival Filem Antarabangsa Hong Kong, Festival Filem Antarabangsa Venice dan Golden Horse Awards.

“Beliau juga merupakan anak didik kepada Allahyarham Yasmin Ahmad. Jadi ketika Chong Keat Aun menghubungi saya dan bertanya adakah saya berminat untuk bawakan watak Nurul dalam filem Pavane for an Infant, saya teruja.

“Sebab saya sudah lama ingin bekerja dengannya. Beliau juga melihat bakat saya lepas penonton lakonan saya dalam telefilem ‘Back To You’ sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Berbanding filem Abang Adik arahan Jin Ong yang mewakili Malaysia ke Oscar untuk edisi 2025, penonton tempatan mengetahui jalan ceritanya kerana menjadi antara filem dengan kutipan tertinggi ketika tayangan di Malaysia serta mendapat pengiktirafan Festival Filem tempatan.

Bagaimanapun, filem Pavane for an Infant, mengalami nasib berbeza dan kedengaran begitu asing daripada pengetahuan peminat filem tempatan.

Oleh itu, kongsi Jasmine, naskhah tersebut mempunyai premis yang menarik apabila membincangkan soal jantina serta nasib baik-baik tidak diingini yang ditinggalkan di peti pelindung bayi atau baby hatch.
“Ia membawa topik yang kontroversi di mana anak-anak yang ditinggalkan ini selalunya dibuang oleh ibu muda yang tidak mahu membesarkan anak mereka selepas melahirkan.

“Mereka yang bekerja di saya yang akan uruskan anak, bawa pergi hospital sebelum cari keluarga angkat untuk ambil mereka.

“Dalam budaya Malaysia tidak kira agama Islam atau Kristian, ‘buang bayi’ adalah perkara yang salah sebab kita kena jaga bayi itu. Juga persoalan moral kewujudan ‘baby hatch’.

“Jadi perkara taboo sebegitu dibawakan dalam filem ini, ia agak kontroversi namun menarik,” jelasnya.

DEMI NURUL

Bercerita lanjut mengenai karakter Nurul lakonannya dalam Pavane for an Infant, Menurut Jasmine, wataknya yang merupakan seorang khunsa tidak pernah dilakonkannya di mana-mana naskhah selama ini.

“Watak ini mengalami konflik di mana dia tak tahu mahu jadi lelaki atau Perempuan sebab dia mempunyai dua kemaluan.

“Jadi Nurul membesar dalam keadaan tidak tahu dirinya siapa,” jelasnya.

Bagi mendalami jiwa karakter seorang Nurul, graduan Lee Strasberg Theatre and Film Institute dari Los Angeles ini belajar membonceng motorsikal dan memakai tudung.

“Saya ambil masa dua minggu untuk selesakan diri menjadi Nurul, saya belajar pakai tudung dan keluar ke mana-mana selama itu dengan bertudung.

“Nurul bukan daripada keluarga berada, jadi saya belajar naik motor, dengar lagu rock untuk ada gaya dan cara pemikiran Nurul.

“Oleh sebab Nurul ini karakter yang terpinggir, jadi saya minta pembantu peribadi untuk tidak ikut saya ke set. Saya mahu dapat rasa terasing itu,” jelasnya.

Sebelum menutup temu ramah, Jasmine yakin filem ini mempunyai jalan cerita yang menarik untuk dikongsikan walaupun belum pernah mengutip angka yang besar dari segi jualan tiket wayang di mana-mana negara.

“Chong Keat Aun, terima kasih sudah berikan rasa dan jiwa awak untuk filem ini. Saya harapkan yang terbaik dan berdoa semua ada ruang untuk filem ini di Akademi Oscar,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN