Bantuan mesin pembungkus lonjak perniagaan Nurul Huda - Utusan Malaysia

Bantuan mesin pembungkus lonjak perniagaan Nurul Huda

NURUL Huda Abdullah menjual ikan rebus di pasar malam Seri Iskandar dekat Parit. – UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Bantuan peralatan membungkus iaitu mesin vakum dan ‘sealer’ daripada Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) membantu seorang wanita bangkit dalam perniagaan ikan rebus yang diusahakannya selepas hampir setahun terhenti kerana masalah kesihatan.

Nurul Huda Abdullah, 41, yang tinggal di Padang Tenggala, Bota Kanan di sini, kini kembali berniaga ikan rebus selepas menerima bantuan mesin pembungkus berharga kira-kira RM2,000 daripada STeP tahun lalu.

Menurutnya, perniagaan ikan rebus yang diusahakan sejak tahun 2022 itu pada awalnya bermula dengan modal hanya RM100, hasil simpanan sendiri.

“Mula-mula saya jual sedikit saja dan saya tidak sangka lama-lama pelanggan makin ramai sehingga jualan mencapai 500 kilogram seminggu menerusi jualan di pasar pagi dan pasar malam.

“Namun tahun lalu, perniagaan terpaksa dihentikan selama lapan bulan kerana saya mengalami masalah kesihatan,” katanya.

Menurutnya, setelah sihat dia cuba kembali berniaga namun memerlukan modal.

Katanya, dia menerima bantuan Baitulmal sebanyak RM2,000 yang digunakan untuk membaiki kenderaan dan dijadikan modal awal memulakan semula perniagaan.

“Selain itu, STeP membantu saya mendapatkan mesin vakum serta ‘sealer’ untuk membungkus ikan rebus untuk saya memulakan semula perniagaan ini,” katanya.

Bantuan yang diterima Nurul Huda selaras dengan flagship pertama Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dan flagship keempat, Koridor TVET Malaysia.

Selain itu, flagship kelima iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Warga 1 Skill dan 1 Keluarga 1 Usahawan cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi memacu negeri ke arah kemajuan dan mensejahterakan rakyat.

Nurul Huda berkata, bantuan peralatan yang diterimanya sangat membantu meningkatkan kualiti produknya kerana ikan rebus yang dibungkus menggunakan mesin vakum lebih kemas, bersih dan tahan lama.

Kini, dia memproses sehingga 160 kilogram ikan rebus seminggu, berbanding hanya 50 kilogram ketika mula kembali berniaga awal tahun ini.

“Sejak kembali berniaga, pelanggan lama mencari saya semula. Saya bersyukur atas bantuan perniagaan yang saya terima. Bantuan daripada kerajaan negeri benar-benar membantu saya bangkit dalam perniagaan,” katanya.

Nurul Huda menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi Yayasan Ikhtiar Parlimen Parit, Datuk Nizar Zakaria yang membantu mempromosikan perniagaannya di TikTok baru-baru ini.

“Selepas beliau promosikan perniagaan saya di TikTok, saya pun terkejut. Orang yang sebelum ini tak pernah makan ikan rebus pun mula beli, sekaligus meningkatkan jualan serta memperkenalkan produk saya kepada lebih ramai pelanggan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN