Banjir masih kritikal, jumlah dipindah tidak berubah

Banjir masih kritikal, jumlah dipindah tidak berubah

Isu banjir
Penduduk Kampung Sungai Panjang Sabak Bernam meninjau jalan yang terputus akibat banjir . – UTUSAN /AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Situasi banjir di seluruh negara masih kritikal dan jumlah mangsa yang dipindahkan seramai 33,526 mangsa membabitkan 34 buah daerah di sembilan negeri yang terjejas.

Kesemua mereka kini berlindung di 298 buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Kelantan, Perlis, Perak, Selangor, Kedah, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

Sementara itu banjir di Se­langor juga belum pulih ekoran gelombang kedua hujan berte­rusan ekoran Ribut Tropika Se­nyar kelmarin dan mengakibatkan kira-kira 4,000 penduduk masih berlindung di PPS. khususnya di Kuala Selangor, Sabak Bernam, Klang dan Sepang.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, Kuala Selangor mengalami banjir paling teruk terutama di kawasan lemba­ngan Sungai Buloh yang limpahannya menyebabkan kawasan Kampung Batu Tujuh, Ijok; Kampung Parit Mahang, Bukit Kuching dan Kampung Bukit Hijau, Jeram terjejas.

Di Sabak Bernam, Jalan Su­ngai Panjang-Tanjung Malim dilaporkan masih terputus apabila terdapat beberapa kawasan sepanjang hampir satu kilometer (km) laluan berkenaan masih digenangi air lebih 0.5 meter.

Di Klang, air Sungai Binjai masih melimpah dan menyebabkan kawasan penempatan di Persiaran Hamzah Alang turut terjejas. Malah, limpahannya turut menyebabkan sebahagian kawasan kampung di Jalan Paip terutama di Jalan Cempaka masih dilanda banjir.

Sementara itu di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang, di sini, lebih separuh daripada 642 mangsa yang berpindah sudah pun tinggal lima hari berikutan rumah mereka di Kampung Parit Mahang dan Kampung Bukit Hijau dilanda banjir.

Seorang mangsa, Zurina Ma­nap, 50, berkata, dia menjangkakan terpaksa tinggal di PPS lebih lama kerana banjir di kawasan Jeram dan Ijok itu mengambil masa yang lama untuk surut.

Sementara seorang lagi mang­sa, Abi Ison, 73, yang mengalami strok memberitahu, dia dan keluarga sudah lebih empat kali berpindah ke PPS sejak 2021 kerana kawasan rumahnya di Jalan Kenangan 2, Kampung Parit Mahang kerap dilanda banjir.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 20 sungai dan satu empangan juga direkodkan melepasi paras bahaya setakat pukul 6 petang semalam.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui data PublicInfoBanjir memaklumkan, di Perlis, Empangan Timah Tasoh berada pada paras 30.31 meter (m), melebihi tahap bahaya sebanyak 0.71m manakala Sungai Perlis di Kampung Sungai Bakau turut melepasi paras bahaya dengan bacaan 3.65m.

Di Perak, Sungai Slim di Slim River menunjukkan paras 26.59m, iaitu 1.19m lebih tinggi daripada tahap bahaya dan Su­ngai Rui di Jambatan Jalan Raya.

Sementara itu, di Kedah, hanya satu sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Bata di Kampung Pahana, mencatat 10.673m, melebihi paras bahaya sebanyak 0.87m.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut mengingatkan orang ramai mengelakkan daripada kawasan berisiko yang berhampiran sungai.

“Sentiasa peka dengan per­kembangan cuaca, jauhi arus deras dan patuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Sementara itu, menurut la­poran situasi terkini Pusat Pengurusan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), setakat pukul 4 petang, seramai 33,526 mang­sa banjir terkesan melibatkan 10,193 buah keluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN