Banjir di Kedah merebak ke Changlun

Banjir di Kedah merebak ke Changlun

KEADAAN rumah yang dinaiki air di sekitar Kampung Paya Nongmi, Changlun di Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Tiga buah kampung di Changlun, di sini dilaporkan terjejas akibat banjir yang melanda Mukim Temin dan Mukim Sungai Laka, sejak awal pagi ini.

Antara kampung terlibat adalah Kampung Nangmah, Kampung Masjid dan Kampung Paya Nongmi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd. Adenin Suhaimi berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) turut diaktifkan iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun.

“Bagaimanapun, jumlah mangsa dan bilangan keluarga yang terjejas masih dalam proses bancian, manakala cuaca dilaporkan masih hujan ketika ini,” katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, laluan utama ke Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok dari Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) juga dinaiki air dan terdapat kenderana terperangkap.

Sementara itu, 388 mangsa banjir di Kulim masih berada di tiga PPS yang diaktifkan sejak Sabtu dan Ahad lalu bagi menempatkan keseluruhan 118 keluarga.

PPS Masjid Al-Muhtadin Sungai Seluang menempatkan 169 mangsa daripada 53 keluarga, diikuti 175 mangsa daripada 55 keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Dik serta PPS Surau KEDA Naga Lilit pula kekal menempatkan 44 mangsa daripada 14 keluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN