BETONG, Thailand: Betong kini muncul sebagai destinasi baharu pilihan rakyat Malaysia untuk melangsungkan pernikahan, susulan banjir yang melanda sehingga menjejaskan laluan ke wilayah Satun dan Songkhla.
Perkara itu didedahkan oleh ejen nikah, Shamsudin Zakaria, 53, yang sudah lebih 16 tahun terlibat dalam menguruskan pasangan Malaysia di wilayah Yala dan Narathiwat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Shamsudin berkata, banjir yang melanda di dua wilayah itu setiap tahun ketika monsun menyebabkan pasangan yang ingin bernikah atau ejen terpaksa menukar lokasi ke Betong.
“Selain itu, tempat yang pernah jadi tumpuan bagi pasangan dari pantai timur iaitu Golok juga telah ditutup. Situasi itu mendorong pasangan Malaysia, khususnya dari Pantai Timur memilih Betong yang lebih mudah diakses berbanding ke Yala dan Songkhla yang lebih jauh dan makan modal lebih banyak.
“Ada kemungkinan besar Betong jadi tumpuan utama. Dalam beberapa hari lagi saya jangka kemasukan pasangan akan meningkat. Bahkan pasangan dari Kelantan sebelum ini turut datang ke sini kerana jaraknya lebih dekat berbanding ke Wilayah Satun dan Songkhla,” katanya ketika ditemui di Pejabat Agama Islam Betong Thailand semalam.
Menurutnya, selepas pandemik Covid-19, jumlah rakyat Malaysia yang berkahwin di Thailand meningkat secara ketara.
“Dulu lebih mudah, lebih ramai. Selepas Covid, prosedur lebih ketat dan perlu ikut peraturan sepenuhnya. Tetapi permintaan semakin meningkat.
“Berdasarkan data perangkaan yang diperoleh melalui Pejabat Agama Islam Selatan Thailand menunjukkan peningkatan mendadak jumlah pernikahan rakyat Malaysia di Thailand iaitu kira-kira 300 pasangan berkahwin setiap bulan untuk lima wilayah iaitu Wilayah Satun, Songkhla, Yala, Narathiwat dan Patani,” katanya.
Sepanjang lebih sedekad menguruskan perkahwinan lintas sempadan, Shamsudin mengakui terdapat pelbagai pengalaman yang tidak dapat dilupakan, khususnya apabila melibatkan isu poligami.
“Ada isteri pertama telefon saya, tanya kenapa suami mereka kahwin lagi. Kita bukan cari pasangan ini tetapi mereka yang datang kepada kita untuk diuruskan secara sah, supaya tidak berlaku perkara yang tidak baik.
“Semua urusan dilakukan mengikut saluran betul dan diiktiraf oleh pihak berkuasa agama Thailand dan kita bukan ikut jalan pintas seperti yang dilakukan oleh ‘ulat’ yang semata-mata ingin mendapatkan laba hasil dari permasalahan yang dihadapi oleh pasangan yang berniat untuk menghalalkan hubungan.” katanya. – UTUSAN










