KUALA LUMPUR: Bakat dalam bidang teknologi baharu muncul seperti kecerdasan buatan (AI) dan robotik agar diiktiraf setaraf profesion lain di negara ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, pihak kementerian komited untuk melaksanakan usaha itu melalui Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) di bawah Akta Teknologis dan Juruteknik 2015 (Akta 768) yang mengiktiraf profesion bersifat multidisiplin dan rentas bidang termasuk robotik serta AI.
Katanya, setakat Oktober lalu, MBOT telah mendaftarkan seramai 107,423 teknologis dan juruteknik merangkumi 24 bidang teknologi, termasuk bidang baharu yang merentas pelbagai sektor.
“Pengiktirafan MBOT melangkaui profesion yang berasaskan disiplin tetapi juga mengiktiraf profesion yang bersifat multi-disciplines dan cross-disciplines seperti robotik dan AI.
“Seperti kita semua tahu, bidang-bidang ini memerlukan pengetahuan dan kepakaran lebih dari satu bidang, hands-on serta bersifat aplikasi teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) berkaitan usaha yang dilaksanakan bagi membolehkan bakat-bakat dalam bidang teknologi baharu muncul supaya diiktiraf setaraf dengan golongan profesional lain.
Menurutnya, MBOT turut mewujudkan kerangka akreditasi bagi program akademik dan kursus jangka pendek seperti melalui Professional Development Certification (PDC) untuk memastikan kualiti pengajian serta latihan dalam bidang AI, semikonduktor dan automasi IoT.
“Beberapa institusi akan menawarkan program-program yang berkaitan dengan AI seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti College of Yayasan Pahang (UCYP) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA),” katanya.
“Melalui PDC, MBOT memastikan kualiti kursus jangka pendek tersebut melalui kerangka penilaian yang menyeluruh meliputi kandungan teknikal, kualiti tenaga pengajar dan aspek penilaian,” katanya.-UTUSAN










