ATM menuju ‘smart military’

ATM menuju ‘smart military’

ADLY ZAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menjalani transformasi ke arah konsep ‘smart military’ dengan penekanan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI), automasi sistem senjata dan keupayaan peperangan siber.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pelan peralihan itu termasuk penubuhan Pemerintahan Siber dan Elektromagnetik menjadi teras kepada penubuhan Pasukan Siber Khusus (Cyber Force).

Katanya, pasukan itu dijangka dilancarkan secara rasmi pada Disember ini, dengan pengisian keupayaan secara berfasa melalui Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

“Penubuhan Siber Khusus akan membolehkan ATM memperkukuh pertahanan aktif, melaksanakan operasi pencegahan serta bekerjasama dengan rakan strategik serantau dalam menangani ancaman siber yang semakin kompleks.

“Matlamat akhirnya adalah menjadikan pasukan ini sebuah formasi berkupayaan sepenuhnya menjelang tahun 2030, selaras dengan strategi Angkatan Masa Hadapan ATM dalam menghadapi sebarang ancaman peperangan moden,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) berkaitan pelan peralihan teknologi pertahanan Malaysia ke arah ‘smart military’ termasuk penggunaan AI, sistem automasi senjata dan peperangan siber.

Tambahnya, ATM kini menggunakan AI dalam operasi berteknologi tinggi bagi memastikan anggota menguasai teknologi kompleks, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi dan memaksimumkan penggunaan aset.

“Kita boleh memanfaatkan AI ini dalam konteks latihan-latihan kita dan saya fikir dalam konteks ketenteraan, simulator antara aspek yang penting terutama dalam pertahanan udara.

“Kita tahu bahawa sesetengah negara itu memang mereka mewajibkan semua anggota pertahanan mempunyai keupayaan dalam melaksanakan dron ketenteraan jadi kita memang ke arah itu supaya kepakaran ini menjadi sebahagian daripada keperluan kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN