Aroma wangi rasa asli nasi dagang Terengganu di Lembah Klang

Aroma wangi rasa asli nasi dagang Terengganu di Lembah Klang

Mohd. Amirul Hafiza Che Abdul Aziz, dan Nuraina Arshat, mengusahakan kedai makan nasi dagang di Kampung Melayu Subang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jika anda membesar di Terengganu, bau aroma nasi dagang yang sedang ditanak di dapur, harum santan, rempah dan ikan tongkol yang mendidih perlahan dalam periuk, tentu membangkitkan nostalgia bersarapan hujung minggu di kampung.

Kini tidak perlu jauh-jauh hingga ke negeri Pantai Timur itu, aroma membuka selera ini boleh dirasai di Lembah Klang, lebih tepat lagi di sebuah kedai sederhana di Jalan Bukit Badak, Kampung

Melayu Subang, dikenali sebagai Ba’am Nasi Dagang Terengganu.

Dari luar, kedainya nampak biasa, namun ada ‘rahsia rasa’ yang membuat pelanggan sanggup datang berulang kali.

Ba’am Nasi Dagang Terengganu

Lokasi: Jalan Bukit Badak, Kampung Melayu Subang, Selangor
Waktu Operasi: 8.00 pagi – 1.00 tengah hari (Tutup Selasa)
Menu Utama: Nasi Dagang Ikan Tongkol, Nasi Dagang Gulai Ayam, Nasi Minyak Ayam & Daging
Harga: Bermula RM8 – RM10

Rahsia itu rupanya datang daripada sepinggan nasi dagang asli Terengganu, hasil air tangan pasangan suami isteri, Mohd. Amirul Hafiza Che Abdul Aziz, 41, dan Nuraina Arshat, 38.

Mereka memulakan perniagaan ini secara kecil-kecilan pada tahun 2015, hanya di sebuah gerai berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Subang.

“Masa mula-mula buka dulu, ramai orang sini pelik. Nasi dagang, nasi minyak pagi-pagi? Mereka biasa dengan nasi lemak atau roti canai. Tapi kami ambil risiko untuk perkenalkan rasa Terengganu di sini,” kata Amirul kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Beliau berkata, usaha itu ternyata berbaloi. Sedikit demi sedikit, pelanggan mula jatuh cinta pada rasa nasi dagang yang lembut berlemak, bersama gulai ikan dan acar timun.

Tiga tahun kemudian, mereka berpindah ke tapak tetap di Jalan Bukit Badak, yang kekal menjadi lokasi utama sehingga kini.

Menariknya, resipi nasi dagang yang digunakan bukan resipi baharu, sebaliknya turun-temurun daripada ibu Amirul sendiri, yang berniaga makanan di Cabang Tiga, Kuala Terengganu.

“Mak memang berniaga nasi dagang sejak dulu. Kami belajar semua daripada mak, dari cara tanak nasi sampai ke ramuan gulai. Kami cuma kekalkan apa yang mak ajar, sebab itulah pelanggan kata rasanya ‘kena’ dengan selera,” katanya.

Di sini, gulai ikan tongkol pula menjadi tarikan utama. Menggunakan ikan segar dan rempah ratus khas dari Terengganu, kuahnya sederhana pekat, sedikit pedas dan berempah wangi.

“Rempah kami memang ambil terus dari Terengganu. Memang mahal sedikit, tapi itu yang jadikan rasa gulai kami asli. Kalau tukar rempah lain, bimbang rasa lari.

“Kuahnya tidak cair malah cukup sebati dengan potongan ikan tongkol yang dimasak lama hingga empuk. Setiap suapan membawa rasa yang seimbang antara pedas, masin dan lemak santan,” ujarnya.

Ba’am Nasi Dagang Terengganu dibuka setiap hari (kecuali Selasa) dari pukul 8 pagi hingga 1 petang.

Selain nasi dagang ikan tongkol berharga RM9, pelanggan juga boleh memilih gulai ayam (RM10), nasi minyak ayam (RM8), dan nasi minyak daging (RM9).

Untuk menambah variasi, kedai ini turut menawarkan lauk seperti ayam masak merah, gulai daging, serta ayam goreng yang boleh menjadi pilihan terutama untuk kanak-kanak.
Bagi penggemar makanan sarapan lain, ada juga nasi lemak, laksam, keropok lekor serta pelbagai kuih-muih tradisional yang diletakkan oleh pengusaha kecil sekitar kampung.

“Kami ambil kuih daripada peniaga tempatan. Biar sama-sama cari rezeki. Sekurang-kurangnya mereka pun dapat manfaat,” kata Nuraina.

Suasana kedai juga cukup santai. Tiada hiasan berlebihan, hanya meja dan kerusi sederhana dengan aroma gulai yang memenuhi ruang.

“Apa yang membuatkan ramai pelanggan setia adalah konsistensi rasa. Walau sudah 10 tahun berniaga, nasi dagang di sini tetap sama, tidak berubah walau sedikit.

“Kami memang jaga rasa dan kualiti. Setiap pagi saya sendiri masak gulai, bukan orang lain. Itu sebab pelanggan kata rasa dia tidak lari,” ujar Amirul.

Katanya,ramai pelanggan tetap datang setiap minggu, malah ada yang sanggup memandu sejauh dari Melaka dan Perak hanya untuk menikmati nasi dagang di sini.

“Kalau ada yang merindui rasa nasi dagang asli di kampung mereka, jika kebetulan berada di Selangor dan ada rasa ‘teringin’ singgah sahaja ke sini,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN