PETALING JAYA: Peranan ibuba pa, guru dan pengawas sekolah sangat diperlukan dalam memastikan pelajar tidak membawa barangan larangan dan berbahaya ke sekolah.
Justeru, tindakan memeriksa beg dan merampas barang larangan seperti senjata, telefon bimbit, rokok dan alat permainan me rupakan satu elemen kepolisian yang perlu dikuatkuasakan segera bagi mendatangkan rasa gerun kepada pelajar.
Jika dahulu, hampir setiap minggu pelajar akan berbaris di tepi kelas untuk beg mereka diperiksa oleh guru dan pengawas sekolah, namun langkah itu tidak lagi menjadi amalan.
Kes kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat di Bandar Utama akibat ditikam pelajar lelaki sekolah sama dan kes rogol pelajar Tingkatan Tiga di Melaka bulan lalu wajar membuka mata pihak pentadbir untuk mengembalikan langkah pemeriksaan beg sekolah itu.
Pengerusi Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, pihaknya memandang serius kejadian jenayah di premis sekolah dan menegaskan semua pihak perlu memainkan peranan masingmasing tanpa menuding jari kepada satu pihak semata mata.

Katanya, pemeriksaan harian mungkin tampak remeh, namun mampu mengelakkan risiko besar terhadap keselamatan diri dan rakan sebaya.
“PIBGN tiada masalah jika pihak sekolah mahu melakukan pemeriksaan beg pelajar secara berkala kerana tindakan itu mampu menimbulkan rasa takut untuk membawa barangan terlarang.
“Spot-check tidak perlu dilakukan setiap hari tetapi mesti kerap dan mengejut supaya keselamatan pelajar sentiasa terjamin. Pada masa sama, ibu bapa juga perlu memeriksa beg anak-anak sebelum ke sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bulan lalu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya meninggal dunia akibat ditikam bertubi tubi seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua sekolah sama di tandas.
Hasil siasatan polis di lokasi kejadian menemukan dua pisau dan satu kerambit yang dipercayai digunakan dalam kejadian tragis berkenaan.
Senjata itu dipercayai dibeli suspek di sebuah platform atas talian, malah siasatan mendapati tiada pemeriksaan di jalankan di sekolah sekali gus membolehkan suspek membawa senjata berbahaya itu ke kawasan sekolah.
Kes kematian itu bukan satu-satunya kejadian melibatkan barang larangan di sekolah. Pada 11 Oktober lalu, media melaporkan empat pelajar lelaki berusia 17 tahun direman enam hari bagi membantu siasatan kes rogol pelajar Tingkatan Tiga dan merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbit.
Mohamad Ali berkata, insiden tersebut menunjukkan bahawa pemeriksaan mengejut terhadap beg dan barangan peribadi pelajar merupakan kewajipan yang perlu dilaksanakan bagi membendung salah laku jenayah di kawasan sekolah.
Katanya, peranan guru dan pengawas sekolah yang mempunyai kuasa melakukan pemeriksaan mengejut atau spot-check secara rawak setiap minggu juga penting bagi mengekang sebarang cubaan salah laku dalam kalangan pelajar.
Mohamad Ali turut menggesa supaya pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekolah dipercepatkan dengan melibatkan lokasi lokasi tersorok seperti tangga, tandas dan stor bagi mengelakkan sebarang kejadian jenayah atau salah laku pelajar.
“Kita tidak mahu hanya menghukum pihak sekolah saja tetapi perlu ada tindakan susulan yang terancang untuk menangani masalah jenayah di sekolah supaya tiada lagi
insiden begini berlaku di masa depan,” katanya. – UTUSAN










