PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa beliau menerima peletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Perdana Menteri berkata, beliau berterima kasih atas khidmat beliau dan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhan yang timbul terhadapnya
“Saya menegaskan bahawa SPRM bebas untuk menjalankan siasatan segera, tanpa sebarang campur tangan luar.
“Kerajaan Madani kekal teguh pada prinsip ketelusan dan integriti, dan memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatan selepas dikatakan wujud percubaan untuk memburukkan dirinya sekali gus boleh mencemarkan imej Kerajaan Madani.
“Saya difahamkan ada percubaan untuk menyerang saya dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan.
Baru-baru ini, bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli mendedahkan Shamsul Iskandar merupakan individu yang menulis surat sokongan kepada enam kontraktor bagi projek pembinaan sebuah hospital, tahun lalu.
Bagaimanapun, Anwar mempertahankan keputusannya untuk tidak memecat Shamsul Iskandar berhubung isu pengeluaran surat sokongan bagi kontraktor dalam sebuah projek hospital.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sebarang tindakan terhadap Shamsul perlulah berasaskan keseriusan kesalahannya.
Beliau mengakui surat tersebut wujud, namun kandungannya ditulis secara umum dan tidak bermaksud sebagai arahan untuk meluluskan kontraktor yang dicadangkan.
Beliau kemudiannya menyifatkan Rafizi, yang juga bekas menteri ekonomi, sebagai seorang yang mungkin agak keras pendiriannya.
Anwar berkata, beliau pernah berdepan kes dengan kakitangan bertindak melampaui bidang kuasa mereka dengan mengeluarkan surat sokongan sedemikian untuk projek. – UTUSAN










