PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai misi dagangan bagi meneroka peluang ekonomi dan pelaburan baharu ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya bermula esok hingga 24 November ini.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, lawatan itu akan turut disertai delegasi rasmi dan rombongan perniagaan Malaysia bertujuan memacu hubungan ekonomi dan pelaburan baharu di rantau Afrika.
“Ketiga-tiga pasaran menawarkan peluang kerjasama yang luas sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mempelbagaikan pasaran dan mengukuhkan kedudukan Malaysia di arena antarabangsa,” katanya pada Taklimat Pejabat Perdana Menteri bersama media, di sini hari ini.
Katanya, lawatan rasmi pertama Perdana Menteri adalah di Addis Ababa, Ethiopia bermula esok hingga 20 November dengan memulakan kunjungan hormat ke atas Presiden Taye Atske Selassie.
Tunku Nashrul berkata, kedua-dua pemimpin kemudiannya akan menyertai Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Malaysia-
Ethiopia bagi meneroka peluang perdagangan dan pelaburan.
Menurutnya, tumpuan utama di Ethiopia pastinya tertumpu kepada pertemuan Anwar dengan Perdana Menteri Dr. Abiy Ahmed Ali, di mana perbincangan dua hala akan merangka agenda kerjasama strategik, disusuli dengan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU).
“Perdana Menteri turut dijadual mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika, Mahmoud Ali Youssouf selain menyampaikan Syarahan Umum kepada belia Afrika yang dianjurkan bersama rakan-rakan strategik belia, sebagai platform memperkukuh hubungan belia Afrika–Asia,” katanya.
Katanya, selesai di Ethiopia, Perdana Menteri kemudian akan ke Johannesburg, Afrika Selatan bermula 20 hingga 23 November bagi menghadiri Sidang Kemuncak G20 dan Aspirasi Selatan Global.
Jelasnya lagi, kehadiran Malaysia hadir ke Sidang Kemuncak G20 adalah sebahagai Pengerusi ASEAN 2025 yang membawa bersama suara 650 juta rakyat ASEAN dan aspirasi rantau Asia Tenggara.
Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa selain menghadiri forum perniagaan bersama pemain industri Afrika Selatan dan berdialog bersama pemimpin komuniti Islam setempat dan menyantuni warga Malaysia di Afrika Selatan.
Seterusnya, Perdana Menteri akan mengakhiri lawatan di Kenya dan dijadual mengadakan pertemuan empat mata dan mesyuarat dua hala bersama Presiden Kenya, William Samoei Ruto dan menyaksikan pertukaran MoU.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut akan menyampaikan ucaptama di Malaysia–Africa Higher Education Forum (MAHEF 2025), menghadiri Forum Perniagaan Malaysia–Kenya, serta beramah mesra bersama diaspora Malaysia dan alumni
Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP) di Nairobi. – UTUSAN










