PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tidak mudah untuk menawan hati penjawat awam terutama selepas mula memimpin kerajaan pada 2022.
Perdana Menteri turut mengakui penjawat awam ketika itu ragu-ragu dengan kerajaan pimpinannya memandangkan sebelum ini ramai antara barisan Jemaah Menteri adalah daripada pihak pembangkang.
“Mulai 2022, ramai yang ragu-ragu tetapi saya faham kerana kita datang daripada pihak pembangkang. Tapi kita sabar, kita bincang, kita tunjuk kasih dan kita tunjuk kesungguhan.
“Saya juga ingatkan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri supaya menambat hati mereka dan meyakinkan mereka. Alhamdulillah,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Pembangunan dan Anugerah Pembangunan Negara (SPAPN) 2025 di sini, hari ini.
Katanya, beliau kini bertambah yakin apabila melihat perubahan positif dalam kalangan penjawat awam sejak dua tahun kebelakangan ini.
Anwar berkata, beliau ingin menzahirkan penghargaan kepada penjawat awam atas komitmen dan semangat yang ditunjukkan itu sehingga negara kekal aman, politik stabil dan bekerja sebagai satu pasukan yang kukuh.
“Saya bukan nak sebut ini depan Ketua Setiausaha Negara dan rakan-rakan, tetapi saya bangga bekerja dengan pasukan penjawat awam.
“Kesungguhan mereka sudah menjadikan keluarga dan negara kita sesuatu yang lebih baik daripada sebelumnya. Jadi, daripada lubuk hati saya, saya datang hari ini untuk mengatakan terima kasih kepada semua,” katanya. – UTUSAN










