Ini satu hal, Cik Bunga ada mendapat perkhabaran mengenai pelakon dan model terkenal, Alicia Amin. Ada yang kata, dia dilihat semakin terbuka berkongsi mengenai tatu yang ada di tubuhnya.
Bukan lagi rahsia bahawa Alicia memang memiliki tatu sejak beberapa tahun lalu, namun kebelakangan ini, dia dilihat semakin berani menonjolkan sisi tersebut secara terang-terangan.
Malah, dalam beberapa sesi siaran langsung di TikTok, netizen sendiri mengakui Alicia kini lebih selesa bercerita tentang asal kenapa tatu-tatunya itu dibuat setiap kali ditanya pengikut.
Namun, dalam keterbukaan itu, ramai yang menegur sikap Alicia yang seolah-olah tidak lagi kisah tentang sensitiviti masyarakat, terutamanya apabila melibatkan imej seorang wanita beragama Islam.
Ada yang berpendapat tindakan memperlihatkan tatu di khalayak ramai dan bercerita mengenainya secara terbuka bukanlah sesuatu yang wajar dijadikan kebanggaan.
Cik Bunga sendiri terpanggil untuk menegur sedikit, tetapi bukanlah niat mahu menjatuhkan, tetapi lebih kepada rasa tanggungjawab sesama insan.
Sebagai figura awam, Alicia seharusnya lebih berhati-hati dalam setiap perkongsian, apatah lagi apabila ia melibatkan perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan tentang batas dan nilai seorang insan beragama Islam.
Tambahan pula, ada yang sempat bertanya di media sosial sama ada Alicia masih beragama Islam. Menariknya, pelakon itu dilihat memilih untuk tidak memberi sebarang jawapan jelas tentang perkara tersebut.
Sikap berdiam diri itu, walaupun hak peribadinya, tetap mengundang pelbagai persoalan dan spekulasi dalam kalangan netizen.
Cik Bunga berharap agar Alicia bijak menguruskan imejnya sebagai seorang selebriti yang punya pengaruh besar, terutama dalam kalangan anak muda.
Bukan semua perkara perlu dikongsi secara terbuka, dan bukan semua kebebasan itu wajar diraikan tanpa batas. Kerana akhirnya, yang akan dinilai bukan sekadar bakat di layar kaca, tetapi juga peribadi dan maruah diri yang mencerminkan siapa kita sebenarnya.










