PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menfailkan Notis Rayuan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 13 November 2025 terhadap sebahagian daripada keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.
Pejabat Peguam Negara dalam satu kenyataan memberitahu, rayuan itu hanya khusus berkaitan beberapa kekhilafan dalam Alasan Penghakiman oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
“Alasan Penghakiman berkenaan antara lain mendakwa bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah menyalahgunakan kuasa serta melanggar kewajiban Perlembagaan.
“Jabatan ini sekali lagi ingin menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak merayu berhubung isu Pemberian Khas Sabah berdasarkan kadar 40 peratus hasil dan akan terus memulakan rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah sesegera mungkin, demikian menurut kenyataan itu.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, rayuan terhadap alasan penghakiman berhubung hak 40 peratus hasil Sabah dibuat bagi mengelakkan salah tanggapan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri sejak 1974 dan tindakan di luar serta melanggar Perlembagaan.
Katanya, alasan penghakiman yang mendakwa kajian semula pemberian khas selepas 2021 menyalahi undang-undang dan tidak rasional serta mengaitkan kesilapan besar kerajaan sejak 1974 seolah-olah menyalahkan kerajaan terdahulu.
“Ini seolah-olah menghukum semua kerajaan daripada era Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, hinggalah sekarang termasuk kerajaan negeri Sabah di bawah Tun Datu Mustapha dan Tun Fuad Stephens,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Anwar berkata, tindakan kerajaan hanya tertumpu kepada memperbetulkan alasan penghakiman tersebut dan bukan komitmen pelaksanaan hak Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kita tidak merayu keputusan berhubung 40 peratus hasil itu kerana ia termaktub dalam Perlembagaan. Namun perlu memfailkan rayuan terhadap alasan penghakiman yang mengandungi kenyataan bahawa kerajaan bertindak tidak rasional atau tidak berperlembagaan sejak 1974.
“Ia penting supaya tidak wujud tanggapan bahawa semua kerajaan sejak 1974 bertindak di luar Perlembagaan,” katanya.










