Ada cara bercakap, Anna Jobling mudah terima pendapat- Ummi Nazeera

Ada cara bercakap, Anna Jobling mudah terima pendapat- Ummi Nazeera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertama kali bergandingan dengan selebriti muda, Anna Jobling menerusi drama baharu Saat Aku Tahu, pelakon, Ummi Nazeera menyifatkan Anna sebagai seorang yang sangat terbuka menerima pandangan mahupun teguran di lokasi penggambaran.

Menurut Ummi atau nama sebenarnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 35, sikap positif yang ditunjukkan finalis Dewi Remaja 2018/2019 itu membuktikan Anna seorang pelakon profesional yang sentiasa mahu memperbaiki mutu lakonannya.

“Walaupun umur kami berbeza jauh, saya nak puji Anna. Dia seorang pelakon muda yang sangat mudah menerima apa sahaja yang kita katakan kepadanya.

“Karakter seperti itu wajar dipuji, apatah lagi bagi seseorang yang masih muda dalam industri. Cuma, mestilah ada cara untuk kita bercakap dengannya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pelakon drama Andai Tiada Dia itu berkata, peribadi Anna yang merendah diri serta mudah diajak berbincang menjadikan mereka selesa bekerjasama, lebih-lebih lagi ketika membawakan watak dua sahabat karib dalam naskhah berkenaan.

“Saya tidaklah sampai membimbing Anna, cuma sesekali memberi pendapat sahaja. Dalam cerita ini, dia berperanan sebagai kawan baik saya, jadi memang perlu ada komunikasi antara kami.

“Bagi saya, penting untuk berkomunikasi dengan pelakon gandingan supaya wujud keserasian. Anna pun melakukan perkara sama, sebab itu mudah untuk saya bekerja dengannya,” jelasnya.

Sejak drama Saat Aku Tahu mula ditayangkan menerusi platform Viu, wujud segelintir penonton di media sosial yang membandingkan mutu lakonan Anna dengan Ummi, malah ada yang mendakwa bintang muda itu tampak kaku dalam beberapa babak.

Drama Saat Aku Tahu mengisahkan Ameena (lakonan Anna Jobling), seorang isteri setia yang kecewa apabila mengetahui suaminya, Zarif (Hisyam Hamid), menjalinkan hubungan sulit dengan sahabat baiknya sendiri, Maira (Ummi Nazeera). -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN