PETALING JAYA: Berbaki tiga bulan menjelang Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih dengan jangkaan kehadiran lebih 9,500 penonton, sebanyak 80 peratus tiket dilaporkan sudah habis terjual.
Ahli Kumpulan Inteam, Muhammad Hazamin Harun berkata, pihaknya positif jualan tiket akan dapat dihabiskan menjelang tarikh konsert pada 1 Februari depan di Axiata Arena Bukit Jalil.
“Kebanyakan tiket konsert yang terjual melibatkan tempat duduk paling mahal dan harga yang paling rendah. Ikutkan tempat duduk paling mahal yang paling cepat terjual.
“Sekarang hanya tinggal berbaki 20 peratus sahaja lagi. Kami optimis ia akan habis dijual,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kejayaan penganjuran konsert berskala mega itu adalah rentetan Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun Inteam di Idea Live Arena, Damansara Intan, di sini, pada 28 September lalu.
Konsert berkenaan menyaksikan kehadiran lebih 5,000 peminat sekali gus menjadi pencetus kepada kumpulan nasyid popular ini melangkah ke pentas lebih besar.
Axiata Arena bersiap untuk satu malam yang dijangka menjadi antara persembahan paling bermakna tahun depan, yang menjulang irama nasyid di pentas berprestij.
Konsert anjuran Icon Entertainment, Iman Tang itu merupakan langkah berani dalam memperkukuh irama nsyid di persada muzik arus perdana dan antarabangsa.
Sejak pengumuman awal, aura keterujaan mula terasa, bukan sahaja dalam kalangan peminat lama, malah generasi baharu yang membesar dengan alunan nasyid moden kumpulan legenda ini.
Pendaftaran tiket sudah berminggu bermula, namun gelombang peminat masih belum surut.
Di media sosial, ramai sudah berkongsi playlist lagu-lagu Inteam yang bakal mereka jeritkan bersama ribuan penonton nanti: Impian Kasih, Dia Muhammad, Kasih Kekasih, Dia, Nur Kasih, Setanggi Syurga, Rabiatul Adawiyah dan banyak lagi.
Peminat mula merancang pakaian, konvoi, malah ada yang menempah hotel berhampiran. Satu hal yang pasti, Februari nanti bukan sekadar konsert. Ia akan menjadi pertemuan jiwa dan nostalgia.
Axiata Arena bakal diterangi bukan hanya oleh lampu pentas, tetapi oleh memori dua dekad perjalanan seni Inteam yang terus hidup dalam hati pendengar.










