KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup 80.5 tan beras dari Thailand selepas menahan dua buah treler dalam dua serbuan berasingan di Kuala Krai baru-baru ini.
Rampasan pada 8 September dan 12 Oktober lalu itu membabitkan nilai rampasan keseluruhan termasuk cukai dan kenderaan dianggarkan berjumlah
RM684,290.
Pengarah JKDM negeri, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, dalam serbuan pertama, di Kampung Berdang, Dabong itu pada 8 September lalu pihaknya telah menjumpai 41 tan tan beras yang dipercayai diseludup dari Thailand.
“Serbuan kedua pada 12 Oktober lalu, JKDM Kelantan sekali lagi menumpaskan cubaan untuk menyeludup sebanyak 39.5 tan beras selepas menahan sebuah treler di Kampung Lata Rek, Kuala Krai dekat sini.
“Kedua-dua rampasan itu melibatkan sebanyak 1,610 guni beras dengan berat keseluruhan mencecah 80.5 tan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, siasatan lanjut mendapati, sindiket itu menggunakan treler dan kenderaan untuk mengangkut beras yang seludup dari pangkalan haram.
Katanya, seorang pemandu treler ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.-UTUSAN









