KUALA LUMPUR: Kira-kira 79 kes rasuah yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh Januari hingga September tahun ini adalah melibatkan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jumlah itu adalah sebahagian daripada 1,022 jumlah laporan rasuah diterima SPRM dalam tempoh sama.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, hal itu sekali gus menunjukkan isu integriti dalam pasukan masih memerlukan perhatian dan tindakan berterusan.
Katanya, perkara itu menjadi peringatan penting agar warga PDRM terus memperkukuh budaya integriti serta meningkatkan pengawasan dalaman bagi memastikan pasukan kekal bebas daripada salah laku dan pelanggaran etika perkhidmatan.
“Sebagai sebuah agensi penguat kuasa utama negara, adalah menjadi tanggungjawab kita memastikan integriti sebagai teras utama dalam setiap tindakan dan keputusan,” katanya pada Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Sambutan Bulan Integriti Peringkat PDRM 2025 di Maktab PDRM di sini, hari ini.
Mohd. Khalid berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) turut merekodkan 1,523 kertas siasatan tatatertib telah dibuka atas pelbagai kesalahan termasuk 47 kes melibatkan rasuah.
Ujarnya, seiring dengan dasar negara, PDRM komited dalam pembangunan Organisation Anti-Corruption Strategy (OACS-PDRM) yang berpaksikan National Anti-Corruption Strategy (NACS) sebagai panduan untuk memperkukuh integriti, tatakelola dan usaha pembanterasan rasuah dalam pasukan.
“Saya menyeru semua jabatan dan formasi berganding bahu dalam usaha ini bagi memastikan strategi pembanterasan rasuah PDRM dapat dibangunkan dengan komprehensif, tersusun dan berkesan.
“Marilah kita terus memperkukuhkan mekanisme pencegahan, pengawasan pematuhan dan pembudayaan nilai integriti di setiap lapisan organisasi, kita harus bersama melindungi imej pasukan daripada pengaruh negatif yang mencemarkan nama baik PDRM,” jelasnya.
Pada majlis sama, Mohd. Khalid merakamkan penghargaan kepada JIPS serta jabatan terlibat atas kejayaan PDRM meraih Anugerah Perak dalam Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2025 yang diumumkan pada 22 Oktober lalu.
Mohd. Khalid berkata, kejayaan itu membuktikan PDRM berada di landasan tepat dalam memperkukuh dasar, pematuhan standard serta mempergiat inisiatif pembudayaan integriti dalam kalangan warga pasukan.
Terdahulu, Mohd. Khalid menyampaikan Sijil Pengiktirafan Tolak Rasuah kepada 41 pegawai dan anggota polis serta Anugerah Integriti kepada lapan pegawai polis yang menunjukkan keteguhan prinsip menolak rasuah, walaupun ditawarkan sogokan antara RM200 hingga RM250,000.
Mohd. Khalid turut menyeru semua anggota PDRM menjadikan pengiktirafan itu sebagai pembakar semangat untuk terus berkhidmat dengan jujur dan amanah.
“Anda semua adalah ‘role model’ terbaik yang perlu dicontohi, semoga pengiktirafan ini bukan sahaja menjadi penyuntik semangat kepada penerima tetapi turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga PDRM untuk terus meletakkan integriti dalam setiap tindakan dan keputusan,” katanya. – UTUSAN









