KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di Pahang bertambah apabila daerah terjejas meningkat kepada empat buah dengan seramai 524 penduduk diipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8.30 pagi ini.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang, daerah Lipis, Kuantan, Raub dan Maran kini mencatatkan peningkatan jumlah mangsa berbanding laporan awal pada pukul 4 pagi ini.
Kuantan merekodkan jumlah tertinggi dengan 232 mangsa daripada 79 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS, diikuti Raub (202 mangsa, 66 keluarga, lapan PPS), Lipis (72 mangsa, 21 keluarga, empat PPS) dan Maran (17 mangsa, empat keluarga, dua PPS).
Tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Secara keseluruhan, sebanyak 22 PPS dibuka di seluruh negeri, menempatkan 171 keluarga yang terjejas akibat limpahan air sungai dan hujan berterusan sejak semalam.
Perbandingan data menunjukkan peningkatan ketara berbanding laporan terdahulu yang mencatatkan hanya tiga daerah terjejas dengan 259 mangsa daripada 153 keluarga.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan bahawa jumlah kumulatif mangsa banjir sejak awal musim Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 kini mencecah 758 orang daripada 187 keluarga.
Pihak berkuasa terus memantau keadaan cuaca dan paras air sungai di seluruh negeri, serta menyeru penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pemindahan. – UTUSAN










