PETALING JAYA: Malaysia menerima 2,500 penempatan baharu bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di China bermula tahun hadapan sebagai usaha memperkukuh pembangunan modal insan dalam bidang teknikal dan industri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penambahan penempatan itu susulan kejayaan pelaksanaan program terdahulu yang mencatat sambutan menggalakkan serta kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi.
Katanya, sebanyak 5,125 tempat telah ditawarkan kepada belia Malaysia pada tahun lalu untuk menjalani latihan TVET di pelbagai institusi dan industri terkemuka China.
“Penambahan ini dibuat hasil kejayaan program terdahulu. Kursus-kursus berkenaan bersifat jangka pendek antara satu hingga enam bulan.
“Pada tahun lepas, kita pada asalnya hanya menerima tawaran 2,500 tempat, namun jumlah itu meningkat kepada 5,125. Untuk tahun depan, kita juga menjangkakan pertambahan sehingga 5,000 tempat,” katanya selepas merasmikan Forum Kerjasama Pendidikan TVET dan Industri Antarabangsa Malaysia–China Ke-2 serta Pameran Pendidikan Vokasional Malaysia–China Ke-4 di Institut Teknikal Elektronik dan Maklumat Shanghai, China, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, kadar kebolehpasaran graduan TVET Malaysia yang menjalani latihan di China mencapai 100 peratus iaitu hasil hubungan rapat dengan industri negara berkenaan.
Katanya, syarikat-syarikat China yang melabur di Malaysia telah memberikan komitmen untuk mengambil pelajar Malaysia yang menjalani latihan TVET di sana, manakala data menunjukkan 54.7 peratus pelajar lepasan sekolah di Malaysia kini menunjukkan minat mendalam terhadap bidang TVET.
“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran belia negara, tetapi juga membantu mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.
“Saya yakin dalam tempoh paling lewat 15 tahun, Insya-Allah kebergantungan kepada tenaga kerja asing dapat diminimumkan,” katanya.
Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut merasmikan Guangqi Institute sebagai hab latihan bersama Malaysia-China yang memberi tumpuan kepada bidang semikonduktor dan elektronik lanjutan.
“Melalui institut berkenaan, seramai 500 peserta terdiri daripada pelajar, tenaga pengajar dan pekerja industri akan menjalani latihan intensif bernilai RM10 juta selama tempoh antara satu hingga enam bulan,” katanya. – UTUSAN










