SERAMAI 20 pelajar Maahad Qiraat An Nur (MQAN), Bukit Puas, Jerantut menjadi perintis program kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz dengan kerjasama Kolej Komuniti Jerantut (KKJ).

Bercakap kepada Utusan Pelajar, Pengerusi MQAN Bukit Puas, Abdul Rafid Fatteh Mohamed berkata, kursus TVET Tahfiz itu merupakan program yang menggabungkan kemahiran teknikal dan vokasional agar memberi input baru kepada pelajar berkenaan.

Maahad Qiraat An Nur Bukit Puas, Jerantut, Pahang yang merintis pembelajaran kemahiran TVET bidang akuakultur di negara ini.“Memulakan kemahiran tersebut, pelajar di sini telah didedahkan selama empat hari dengan teknik ternakan ikan secara bioflok, iaitu menternak ikan tilapia dalam tangki kanvas.
“Pada masa ini kami menyediakan sebanyak tiga kanvas selebar 10 meter setiap satu yang menampung sejumlah 4,500 ekor tilapia,” katanya di MQAN Bukit Puas, Jerantut baru-baru ini.

Menurut Abdul Rafid, ikan yang diternak, selain digunakan untuk kegunaan makanan harian juga turut dijual kepada orang ramai untuk menampung kewangan pengurusan pengajian tahfiz.
Beliau berkata, MQAN Bukit Puas memilih pengajian TVET berasaskan ternakan akuakultur kerana Jerantut terkenal dengan ternakan ikan sangkar di sepanjang Sungai Tembeling dan Sungai Pahang.
Malahan kalangan ibu bapa pelajar turut terbabit dalam bidang itu sebagai sumber mata pencarian.
“Bioflok merupakan kaedah baharu ternakan ikan air tawar tanpa menghadapi risiko banjir dan kemarau kerana ikan tilapia serta spesies (ikan) lain boleh diternak di kawasan rumah.
“Kaedah moden ini cuma menternak ikan dalam tangki kanvas dengan menggunakan mikroorganisma (bakteria baik) untuk mengawal kualiti air dan menjadikan sisa buangan sebagai makanan semula jadi untuk ikan,” katanya.

Selanjutnya Abdul Rafid menambah, sistem bioflok merupakan ternakan akuakultur yang bersih, jimat air dan makanan, kerana segala sisa dalam air tidak dibuang, tetapi dikitar semula menjadi makanan iaitu bioflok ini terapung dalam air dan dimakan semula oleh ikan.
Berkongsi pengetahuan yang sama, Ketua Program Teknologi Akuakultur KKJ, Farah Diyana Mohd Azmi berkata, program TVET Tahfiz bertujuan melahirkan profesional tahfiz yang seimbang antara ilmu duniawi dan ukhrawi.
Katanya, program tersebuti turut mendapat kerjasama daripada Zam Aquatic yang pengalaman lebih 10 tahun dalam ternakan ikan air tawar.
“Melalui kerjasama antara Kolej Komuniti dengan institusi tahfiz ini secara langsung dapat memberikan kemahiran keusahawanan dan teknikal kepada mereka bagi membina kemahiran keusahawan apabila tamat pengajian kelak.
“Selain melahirkan huffaz profesional, pelajar ini dibekalkan kemahiran teknikal berteraskan industri semasa selain mempunyai ilmu hafazan al-Quran serta memperluas kebolehan pelajar untuk berdaya saing dalam kerjaya masa depan,” katanya.
Katanya, MQAN Bukit Puas merupakan tahfiz pertama di negara ini yang mengikut program ternakan ikan menggunakan sistem bioflok dan diharap pada masa depan lebih banyak tahfiz menyertai program ini.
Pelajar tahfiz, Mohd Zulhairi Zulkifli, 15 dari Kampung Tebing Tinggi, Jerantut berkata, dia begitu teruja apabila mempelajaran sistem ternakan ikan dalam tangki kanvas.

“Sistem ini lebih mudah dipantau kerana boleh dilaksanakan di kawasan rumah dan tidak menghadapi banyak risiko seperti banjir dan kemarau jika diternak di sungai atau kolam,” katanya.
Mohd Zulhairi yang sudah menghafal 15 juzuk al-Quran berkata, dia akan menajamkan kemahiran ternakan akuakultur selepas belajar al-Quran pada sebelah petang sebagai bekalan menceburi bidang bidang ternakan akuakultur.
Rakannya, Mohamad Ramadan Abdul Karim, 15 dari Tanjung Medang, Pekan berkata, dia sudah memperoleh sedikit kemahiran bidang ternakan ikan air tawar kerana bapanya merupakan penternak ikan sangkar di Pekan.
“Saya akan mencadangkan kepada ayah untuk mencuba kaedah bioflok kerana lebih mudah serta menjimatkan makanan ikan berbanding kaedah ternakan sangkar,” katanya.
Ujarnya, menerusi kaedah bioflok pengurusan ternakan lebih menjimatkan lebih lagi berdekatan rumah dan peluang bapa meningkatkan pendapatan hasil pasaran ikan tilapia di pusat jualan berdekatan. – UTUSAN










