LANGKAWI: Seorang kru sebuah vesel meninggal dunia, manakala 18 lagi terselamat dalam kejadian bot karam di perairan Timur Laut Pulau Perak, dekat sini semalam.
Mangsa terselamat terdiri daripada 14 lelaki dan seorang wanita tempatan serta tiga warga Myanmar dan seorang Bangladesh yang berusia 15 hingga 53 tahun, manakala mangsa yang maut merupakan lelaki tempatan berusia 70 tahun.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, kesemua mangsa dijumpai terapung dalam keadaan memakai jaket keselamatan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kira-kira pukul 7.30 malam tadi.
Katanya, KD Ledang milik TLDM berjaya mengesan kesemua mangsa sebelum memberikan rawatan awal kepada mereka dan mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“KD Ledang tiba di Jeti TLDM Mawila 3 pada pukul 6 pagi ini dan kesemua mangsa menjalani prosedur pemeriksaan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Setelah pemeriksaan selesai, kesemua 18 mangsa selamat diuruskan Maritim Malaysia dan Jabatan Laut untuk tindakan seterusnya,” katanya di sini, hari ini.
Akhbar ini malam tadi melaporkan sekurang-kurangnya lapan orang dipercayai berada di dalam bot yang dilaporkan hampir karam di perairan timur laut Pulau Perak, dekat sini.
Insiden tersebut dimaklumkan oleh pemilik bot pada pukul 10.45 pagi semalam. – UTUSAN









