PUTRAJAYA: Hanya 16 kementerian sahaja berjaya melepasi tahap purata nasional bagi projek pembangunan tahun ini kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Ini bermakna sebanyak 15 lagi daripada keseluruhan 31 kementerian gagal menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam pelaksanaan projek mereka.
Shamsul Azri berkata, daripada jumlah peruntukan (dipinda) sebanyak RM85.87 bilion melibatkan 9,524 projek, sebanyak RM64.03 bilion telah dibelanjakan dengan purata nasional sebanyak 74.56 peratus.
“Daripada jumlah ini, hanya 16 kementerian berjaya melepasi tahap purata nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Pembangunan dan Anugerah Pembangunan Negara 2025 di sini semalam.
Justeru, Ketua Setiausaha Negara itu meminta setiap ketua setiausaha kementerian (KSU) mengadakan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK) seperti yang dijadualkan dalam Arahan No.1 Tahun 2020.
Pada masa sama, beliau meminta agar pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat melihat dan mengkaji semula kaedah pelaksanaan projek fizikal ini agar dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan.
Shamsul Azri berkata, kerajaan kini sedang melangkah ke Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ untuk tempoh 2026 hingga 2030.
Justeru beliau menyeru seluruh penjawat awam agar membuat persediaan rapi mulai sekarang.
“Kita perlu menjadi lebih tangkas dan inovatif dalam menggembleng segala usaha bagi menjayakan lebih 120 strategi dan lebih 600 inisiatif yang telah digariskan,” katanya. – UTUSAN










