13 juta rakyat nikmati penjimatan RM800 juta melalui BUDI95

13 juta rakyat nikmati penjimatan RM800 juta melalui BUDI95

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 13.1 juta rakyat menikmati penjimatan berjumlah RM800 juta hasil pelaksanaan program Budi Madani Ron95 (BUDI95) pada bulan pertama sejak ia dilancarkan pada 30 September lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak 13.1 juta rakyat telah melakukan transaksi pembelian BUDI95 dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM2.66 bilion.

Jelasnya, pelaksanaan tersebut turut melibatkan pembelian 1.33 bilion liter petrol RON95 bersubsidi, yang disalurkan kepada pengguna berdaftar di seluruh negara termasuk lebih 23,000 nelayan dan individu tanpa lesen memandu aktif, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“BUDI95 memastikan rakyat menerima subsidi secara langsung tanpa proses yang rumit, serta memberi kelegaan kewangan kepada pengguna dalam menghadapi tekanan kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. 

Sejak dilaksanakan, program BUDI95 membolehkan 16.55 juta rakyat Malaysia diluluskan untuk menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter, berbanding harga pasaran tanpa subsidi sebanyak RM2.60 seliter. 

Amir Hamzah berkata, kerajaan menyalurkan subsidi bernilai RM800 juta bagi tempoh sebulan pertama bagi memastikan bantuan sampai terus kepada golongan sasar dan membantu mengurangkan beban sara hidup rakyat.

Di bawah program ini, katanya, semua pemegang MyKad warganegara berumur 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak membeli RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan.

“Bermula 13 Oktober lalu, kerajaan turut menaikkan had siling kelayakan bulanan kepada 600 liter bagi kategori pengguna e-hailing, melibatkan 58,000 pemandu berdaftar di seluruh negara.

“Langkah itu diambil bagi mengurangkan kos operasi pemandu e-hailing yang banyak bergantung kepada penggunaan petrol RON95 untuk aktiviti harian mereka,” katanya. 

Beliau berkata, secara purata, penerima BUDI95 di bawah kategori persendirian mencatat penggunaan sebanyak 98.2 liter sebulan untuk bulan Oktober, jauh lebih rendah daripada had kelayakan bulanan 300 liter yang ditetapkan.

Setakat 26 Oktober, katanya, kurang 0.7 peratus jumlah penerima BUDI95 telah menggunakan sepenuhnya kelayakan bulanan mereka sebelum akhir bulan. 

“Perincian penggunaan menunjukkan antara pengguna persendirian, 0.6 peratus telah menggunakan sepenuhnya kelayakan bulanan 300 liter.

“Antara pengguna bot berdaftar tanpa lesen memandu, 0.3 peratus telah menggunakan sepenuhnya kelayakan bulanan 300 liter.

“Sebagai komitmen untuk memperkukuh pelaksanaan BUDI95, kerajaan akan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa, termasuk semakan terhadap had kelayakan tambahan bagi pemandu e-hailing supaya lebih saksama dan menyeluruh,” katanya. 

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan mengenal pasti beberapa corak penggunaan luar biasa, termasuk penerima yang menghabiskan keseluruhan had bulanan dalam tempoh singkat dan berulang kali membeli petrol di stesen berhampiran sempadan negara.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan melalui MoF dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memperkukuh pemantauan di stesen minyak serta dalam kalangan pengguna bagi memastikan manfaat BUDI95 tidak diselewengkan.

“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyelewengan atau penjualan semula petrol bersubsidi kepada pihak yang tidak berkelayakan. Tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 akan diambil terhadap pihak yang terlibat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN