105 projek tebatan banjir di Selangor dijangka siap 2035

105 projek tebatan banjir di Selangor dijangka siap 2035

Tebatan banjir Selangor
PEGAWAI JPS Selangor melakukan pemeriksaan tapak bagi kerja-kerja menaik taraf benteng tanah dekat Taman Selat Damai, Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor. - Ihsan JPS Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 105 projek rancangan tebatan banjir (RTB) jangka panjang sedang dilaksanakan di seluruh negeri ini melibatkan kos berjumlah RM4.28 bilion dan dijangka siap dalam tempoh satu hingga sembilan tahun.

Pelaksanaan RTB itu melibatkan peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan sebanyak RM3.46 bilion bagi 26 projek sementara di bawah kerajaan negeri berjumlah RM828 juta untuk 79 projek.

Bagaimanapun terdapat projek RTB di 74 lokasi dikenal pasti berisiko terdedah dengan bencana tersebut sudah pun siap.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor dalam kenyataannya berkata, pelaksanaan projek jangka panjang merangkumi peringkat kajian, reka bentuk, pengambilan tanah dan pengalihan utiliti jika berkaitan sebelum perolehan serta pelaksanaan secara fizikal.

“Justeru, bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan risiko sementara menunggu projek mitigasi jangka panjang disiapkan, kerajaan negeri melalui JPS Selangor melaksanakan 147 kerja langkah segera pada tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM33.94 juta.

“Ia melibatkan 127 kawasan hotspot banjir dan berisiko (87 kawasan) yang mana 39 daripadanya sudah pun siap. 38 masih dalam pelaksanaan dan 70 masih dalam proses perolehan,” katanya malam tadi.

Tambahnya, kerja-kerja jangka pendek yang sudah pun siap membantu mengurangkan impak banjir di 29 kawasan kerap dan berisiko banjir khususnya di Klang dan Petaling.

“Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM14.1 juta untuk menyelesaikan kerja-kerja pengukuhan dan penstabilan tebing, penyelenggaraan sungai dan pantai serta kerja-kerja penyelenggaraan rumah pam dan pintu air.

“Sementara Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM19.5 juta untuk melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan sungai dan pembaikan struktur. Kerja-kerja tersebut akan disiapkan pada hujung November (bulan ini),” jelasnya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Kerajaan Persekutuan memperuntukkan hampir RM3.5 bilion bagi melaksanakan 18 projek mitigasi banjir jangka panjang, sementara RM500 juta disalurkan oleh kerajaan negeri bagi 20 projek di seluruh negeri.

Malah, Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim memaklumkan, kerajaan negeri turut meluluskan RM27 juta untuk melaksanakan 142 projek tebatan banjir jangka pendek dalam tempoh dua bulan di lapan daripada 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bagaimanapun, beliau memberitahu projek tebatan banjir di Hulu Langat yang bernilai RM500 juta masih di peringkat penerimaan dan reka bentuk.

Kata kenyataan itu lagi, bagi RTB di sepanjang 56 kilometer (km) Sungai Klang, insiatif tersebut dilakukan di bawah program Selangor Maritime Gateway (SMG) melibatkan skop pendalaman dan pelebaran sungai serta pembinaan, pengukuhan ban dan benteng.

“Ia mengurangkan risiko banjir di negeri ini. Projek itu sedang dalam pelaksanaan (29.7 peratus) yang dijangka siap pada November 2026.

“Selain itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga membantu memainkan peranan penting dalam mengurangkan impak banjir dengan pelaksanaan projek-projek di kawasan perbandaran masing-masing,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN