1,000 asnaf ditaja tunai umrah, kerjasama swasta - badan agama

1,000 asnaf ditaja tunai umrah, perkukuh institusi zakat, swasta

MOHD. Na’im menyantuni kira-kira 15 orang asnaf yang mendapat tajaan menerusi kempen Umrah 1,000 Asnaf.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kerjasama antara Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn. Bhd. (Ikhlas.com) dan institusi zakat negeri dalam melaksanakan kempen Umrah 1,000 Asnaf disifatkan sebagai manifestasi kerjasama sektor swasta dan badan agama dalam memperkukuh jaringan kebajikan umat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, inisiatif itu bukan sahaja membantu golongan asnaf menunaikan umrah, malah satu pendekatan menyeluruh dalam menjaga kebajikan mereka.

“Dalam konteks ini, data asnaf yang disalurkan oleh badan-badan zakat negeri menjadi asas penting dalam memastikan bantuan disasarkan kepada golongan yang benar-benar layak.

“Ia juga memperlihatkan komitmen institusi zakat dalam memperluas manfaat zakat bukan sekadar kepada bantuan sara hidup, tetapi juga dalam memenuhi impian spiritual masyarakat Islam,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 di sini hari ini.

Kempen Umrah 1,000 Asnaf yang dilancarkan pada 19 Mac lalu merupakan misi mengenal pasti dan memberi tajaan pakej umrah kepada golongan asnaf terpilih berdasarkan kriteria kelayakan tertentu. –

Terdahulu, Mohd. Na’im menyantuni kira-kira 15 orang asnaf yang mendapat tajaan menerusi kempen Umrah 1,000 Asnaf sebelum kumpulan itu terbang ke Tanah Suci petang ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, program itu juga bukan sahaja menaja ibadah umrah, tetapi meliputi penyediaan dokumen perjalanan, suntikan vaksinasi dan kelengkapan umrah lengkap sebelum berangkat ke Tanah Suci.

“Ia mencerminkan pendekatan menyeluruh dalam menjaga kebajikan penerima daripada aspek fizikal hingga rohani. Ini adalah antara contoh terbaik bagaimana kerjasama antara kerajaan, swasta dan institusi agama dapat memberi impak sosial yang besar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, pihaknya menghargai sokongan padu badan zakat negeri dalam merealisasikan impian golongan asnaf untuk ke Tanah Suci.

“Usaha itu sejajar dengan misi kami untuk memperluas impak sosial melalui kewangan Islam berteraskan teknologi. Melalui kerjasama strategik ini, kami ingin menunjukkan bagaimana teknologi boleh menjadi pemangkin kepada impak sosial yang lebih besar.

“Ia bagi memudahkan urusan kebajikan dan memperluas capaian manfaat kepada komuniti asnaf di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN