100 calon SPM terjejas banjir di Kelantan selamat duduki peperiksaan 

100 calon SPM terjejas banjir di Kelantan selamat duduki peperiksaan 

SITI Norina Muhammad (kiri) memberikan kata-kata semangat kepada calon SPM di SMK Ismail, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seramai 100 daripada 27,361 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas dengan banjir selamat menduduki peperiksaan awam itu bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata, ia melibatkan calon dari daerah Kota Bharu, Tumpat dan Bachok.

Katanya, daripada jumlah itu Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Nurul Huda Kajang Sebidang, Tumpat paling ramai terjejas melibatkan 56  calon.

“Mereka sudah ditempatkan di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah, Pasir Pekan (Tumpat) dan menduduki peperiksaan di sekolah berkenaan.

“Pagi tadi seramai 15 calon SPM dari SMK Kutan yang menumpang di asrama SMK Mahmud Mahyidin dihantar ke sekolah asal mereka dengan menaiki trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menduduki pemeriksaan tersebut,” katanya selepas menyantuni calon-calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra di sini hari ini.

Siti Norina memberitahu, selebihnya calon SPM terjejas dengan musibah berkenaan ditempatkan di asrama sekolah masing-masing termasuk dua pelajar yang sebelum ini berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang.

Katanya, calon-calon itu menduduki peperiksaan di 286 pusat peperiksaan.

“Sebagai persediaan kita turut mengaktifkan 10 pusat peperiksaan alternatif sekiranya banjir berlaku di semua jajahan.

“Setakat ini hanya satu pusat peperiksaan alternatif di SMKA Falahiah yang diaktifkan melibatkan pelajar SABK Nurul Huda Kajang Sebidang,” ujarnya.

Siti Norina berkata, JPN Kelantan turut menyediakan perkhidmatan psikososial kepada calon SPM yang terjejas dengan banjir bagi memastikan mereka menduduki peperiksaan itu dengan selamat.

Katanya, JPN Kelantan turut bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), ATM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi Ops Payung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN