KOTA KINABALU: Pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir dikatakan berkurung di dalam tandas aras tiga Blok Rabiatul Adawiyah selepas disoal siasat berhubung kes kecurian di asrama terbabit oleh beberapa pelajar senior pada 15 Julai lalu.
Kira-kira pukul 3.50 pagi, 16 Julai lalu, beberapa jam selepas soal siasat itu, saksi kanak-kanak ke-11 yang juga senior kepada remaja terbabit diberitahu oleh penghuni asrama yang lain bahawa ‘ada orang mati.’
Saksi itu yang juga saksi inkues ke-20 memberitahu selepas diberitahu mengenai perkara itu, dia dan beberapa penghuni lain bergegas keluar ke hujung tangga di depan dorm A3-6 kerana `orang’ tersebut telah diangkat ke hujung asrama sementara menunggu kedatangan ambulans.
Dia hanya mengetahui bahawa `orang’ itu adalah Zara Qairina apabila kesemua pelajar berkumpul di surau untuk solat Subuh.
Saksi turut memberitahu Mahkamah Koroner bahawa pada malam Zara Qairina disoal siasat oleh senior, sekitar pukul 11 malam ke atas, selepas lampu asrama dipadamkan, dia ada terdengar seorang junior berkata “Itulah mencuri lagi, p*****k anjing” dengan kuat dan dalam keadaan marah ketika hendak mengambil kasut di hadapan dorm A3-6.
Pada prosiding sebelum ini, beberapa saksi kanak-kanak memberitahu bahawa Zara Qairina telah disoal siasat oleh lima pelajar senior termasuk ahli Circle 19 pada malam 15 Julai lalu di dorm A3-6.
Zara Qairina kemudian dilihat kembali ke dormnya (A3-5) dalam keadaan terganggu, terbaring di hadapan lokernya sambil menangis sebelum menjerit “aku tidak mencuri bah, bodoh” dan kemudiannya dilihat keluar dari dorm berkenaaan.
Terdahulu, saksi itu memberitahu, dia pernah pernah menasihati Zara Qairina agar tidak melakukan perkara yang tidak sepatutnya termasuk ‘kerat tangan’ (mencederakan diri).
Walaupun dia tidak pernah melihat Zara Qairina berbuat demikian namun nasihat itu diberikan kerana pada pendapat saksi itu, orang yang stress atau kecewa akan berbuat demikian dan bagi mengelakkan perkara tersebut daripada berlaku.
Dia juga tidak tahu sebab yang membuatkan Zara Qairina kecewa atau stress.
Tambahnya, sebelum kejadian pada 15 Julai lalu, Zara Qairina pernah dipanggil oleh pelajar-pelajar senior kerana masalah berkaitan kawan dan selepas dipanggil, remaja terbabit dilihat sedih dan keseorangan.
Saksi pada hari ini turut memaklumkan bahawa Zara Qairina seorang yang baik, suka menegur dan memberi salam kepada senior yang ditemuinya serta sering berkongsi makanan.
Dia juga selalu melihat Zara Qairina berkawan rapat dengan seorang pelajar senior yang merupakan seorang ahli Badar (Badan Dakwah dan Kerohanian).
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Rizwandean M. Borhan yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina dan peguam Azhier Farhan Arisin ketika ditemui pemberita selepas tamat prosiding inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner di sini yang memasuki hari ke-21, hari ini.
Prosiding yang didengar oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung esok.