KUALA LUMPUR: YTL Communications sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia melancarkan 5G Advanced secara komersial melalui jenama perkhidmatannya, Yes.
Pelaksanaan teknologi generasi baharu itu kini bermula di Lembah Klang dan dijangka siap sepenuhnya di seluruh negara menjelang Disember 2025.
Dengan matlamat memperluas liputan 5G, ia mampu meningkatkan prestasi rangkaian, serta memperkenalkan sambungan berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk manfaat pengguna dan sektor perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K. Lee, berkata pelaksanaan 5G Advanced bukan sekadar peningkatan infrastruktur, tetapi satu lonjakan besar dalam landskap komunikasi negara.
“Dengan 5G Advanced, rakyat Malaysia dapat menikmati liputan 5G yang lebih menyeluruh dan rangkaian tanpa wayar berprestasi tinggi yang tiada tandingan. Ia menjadi asas kepada masyarakat yang terbuka, inklusif, dan bersedia untuk era AI yang sewajarnya dapat dinikmati semua,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Digital Nasional Berhad (DNB), Datuk Azman Ismail, turut mengucapkan tahniah kepada YTL Communications atas pencapaian bersejarah ini.
“Dengan Yes 5G Advanced Network Slicing kini diaktifkan di seluruh negara dan pelaksanaan naik taraf sedang giat dijalankan di Lembah Klang, kami berbesar hati untuk terus bekerjasama rapat dengan YTL Communications bagi mempercepatkan pelaksanaan keupayaan canggih berasaskan AI menjelang hujung tahun,” ujarnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro pula menyifatkan pelancaran 5G Advanced oleh YTL Communications sebagai satu titik penting dalam transformasi digital Malaysia.
“Evolusi 5G ini bakal menawarkan pengalaman mudah alih bertaraf dunia dengan penstriman lebih lancar serta permainan dalam talian yang lebih responsif. YTL Communications kini menjadi pengendali kesembilan di dunia memperkenalkan 5G Advanced, dijayakan melalui keupayaan rangkaian 5G DNB dan teknologi Ericsson,” katanya.
Menggunakan integrasi spektrum 700MHz dan 3500MHz, Yes 5G Advanced menawarkan penembusan dalaman yang lebih kukuh dan liputan luar lebih luas. Pengguna dapat menikmati prestasi tinggi bagi data dan suara melalui Voice over New Radio (VoNR), dengan kependaman ultra-rendah dan pengurusan trafik pintar untuk pengalaman optimum termasuk penstriman video, permainan atas talian dan aplikasi industri kritikal.
Melalui Advanced Network Slicing, Yes 5G Advanced mampu menyesuaikan rangkaian dalam masa nyata, mewujudkan “haluan VIP” dengan keutamaan trafik berdasarkan QoS, menjadikan pengalaman digital dan aplikasi AI generasi baharu lebih lancar dan berkesan.
Mulai hari ini, semua pelanggan Yes pascabayar dan jalur lebar tanpa wayar akan menerima naik taraf automatik ke 5G Advanced tanpa sebarang caj tambahan, serta tanpa memerlukan pendaftaran baharu.
Bagi meraikan pelancaran ini, Yes turut memperkenalkan promosi istimewa termasuk Yes 5G Advanced Broadband Bundle dengan data dan kelajuan tanpa had menggunakan peranti Yes Infinite Gateway MAX pada harga RM68 sebulan, serta Yes Infinite+ Advanced Phone Bundle yang menawarkan penjimatan sehingga RM3,999 untuk peranti seperti Samsung Galaxy S25 dan Nothing Phone (3), selain model 5G Advanced-ready daripada Honor, Vivo, Xiaomi dan ZTE.-UTUSAN