‘YBC’ Hanafiah Mat ‘senang kira, mudah baser’

‘YBC’ Hanafiah Mat ‘senang kira, mudah baser’

Hanafiah Mat (tengah) tidak kekok membantu membaik pulih bumbung rumah penduduk yang rosak di Chukai, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH utamakan rakyat, berbanding diri dan keluarga. Itu antara prinsip dipegang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Datuk Hanafiah Mat yang meletakkan tanggungjawab menjaga rakyat di kawasannya sebagai perkara utama selepas diberi mandat memimpin kawasan itu sejak 2013.

Dikenali sebagai pemimpin mesra rakyat dan senang didampingi, Hanafiah yang sering turun padang menyantuni penduduk mengetepikan protokol dan melayan semua penduduk sama rata tanpa mengira perbezaan agama serta parti politik.

 

BIODATA DATUK HANAFIAH MAT
Tarikh Lahir: 17 Disember 1960
Pekerjaan : ADUN Chukai
Pendidikan Menengah: Sekolah Menengah Kebangsaan Intan Zaharah, Dungun, Terengganu
Pendidikan Tinggi:
 Sijil Kejuruteraan Elektrik, Institut Latihan Industri
 Diploma Pengurusan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu, Kampus Dungun.

 

Kelibat Hanafiah yang lebih dikenali sebagai ‘YBC’ (Yang Berhormat Chukai) juga sering dilihat menyingsing lengan bersama rakyat membaik pulih atap rumah penduduk yang bocor ditimpa ribut dan bersama rakyat dalam apa jua keadaan di saat susah serta senang.

Malah di kawasan Chukai, Terengganu, bukan menjadi suatu perkara yang pelik melihat Hanafiah sanggup bersengkang mata dan turun menyantuni penduduk yang ditimpa musibah sama ada rumah ditimpa ribut, banjir hingga lewat malam atau sehingga pukul 3 atau 5 pagi.

KEBAJIKAN RAKYAT JADI KEUTAMAAN

Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu berkata, meskipun sibuk dengan tugasnya sebagai Exco kerajaan negeri, beliau sangat mementingkan kebajikan rakyat di kawasannya dan lazimnya berulang-alik tiga atau empat hari seminggu dari Chukai ke Kuala Terengganu yang sejauh kira-kira 175 kilometer sehala.

“Biasanya kalau ada mesyuarat di Kuala Terengganu, waktu petang atau malam saya pulang dan berada di kawasan. Kalau berada di Chukai, pada waktu pagi, saya turun meluangkan masa bersarapan bersama orang ramai di kedai-kedai sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) ini.

“Saya suka menjamu orang makan. Kawan-kawan atau tetamu yang datang ke Kemaman, biasanya saya jamu mereka di rumah. Kalau di kedai makan, rezeki merekalah jika saya singgah di kedai tersebut. Secara tak langsung, di kedai makan menjadi ‘kaunter aduan rakyat’ dan saya gunakan masa itu untuk mendengar luahan dan masalah rakyat dengan lebih dekat,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Menurutnya, kebajikan dan keperluan rakyat, menjadi keutamaan sejak dilantik sebagai ADUN 12 tahun lalu dan beliau segera turun padang sekiranya rakyat ditimpa musibah.

BERSIKAP ADIL

Diberi amanah sebagai wakil rakyat, Hanafiah sentiasa bersikap adil dan tidak memilih golongan tertentu dalam memberi bantuan, malah beliau melayan setiap individu sama rata.

“Saya tidak memilih kasih dalam memberi bantuan, tidak kira berlainan parti politik dan agama, saya akan tolong semua orang. Saya juga sentiasa nasihatkan dan sering mengingatkan semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang dilantik di DUN saya supaya sentiasa bersikap adil. Rakyat yang memerlukan bantuan dan layak, mereka berhak untuk dibantu. Kalau tidak, nanti semuanya akan dipersoalkan Allah di akhirat kelak,” katanya.

Hanafiah berkata, beliau terbuka menerima pandangan semua pihak dan penduduk di kawasannya boleh menghubunginya sendiri jika terdapat sebarang masalah. Malah beliau tidak mempunyai masalah untuk berkongsi nombor telefon bimbitnya kepada rakyat.

Beliau boleh dihubungi bila-bila masa sahaja apabila diperlukan dan memastikan setiap panggilan dijawab. Jika tidak sempat menjawab panggilan telefon kerana sedang dalam program atau mesyuarat, beliau pasti menghubungi semula individu tersebut dan ia sudah menjadi amalannya.

“Di Chukai ini terdapat juga pengundi kaum Cina dan India, saya juga menjaga kebajikan mereka,” katanya.

DEKATI GOLONGAN MUDA

Hanafiah bukan hanya terkenal dengan sifatnya yang peramah dan mesra rakyat, malah beliau senang didampingi setiap golongan termasuk orang muda sehingga mesra dipanggil ‘Abah’ oleh anak muda di DUN tersebut.

Menurutnya, dia sering turun padang bersama golongan muda dan menyokong semua aktiviti yang dianjurkan untuk mereka di DUN tersebut.

“Anak muda ajak main bola sepak atau konvoi motosikal saya turun bersama. Ada apa sahaja program, saya hadir dan raikan semua golongan dalam apa sahaja cara yang boleh mendatangkan manfaat. Saya turut melaksanakan kerja-kerja baik pulih fasiliti untuk pembangunan sukan anak muda termasuk padang bola, gelanggang futsal dan gelanggang papan selaju untuk kemudahan anak muda,” katanya.

 

 

Menurutnya, beliau juga sering memberi insentif bagi meraikan anak-anak di DUN tersebut yang dapat mencipta kecemerlangan tidak kira dalam bidang sukan mahupun akademik.

“Selain turun padang bersama rakyat, saya menggunakan medium media sosial Facebook dan TikTok untuk menyampaikan maklumat dan menjelaskan sesuatu isu kepada orang ramai,” katanya.

MENDAPAT KEPERCAYAAN RAKYAT

Tiga penggal berturut-turut diberi mandat sebagai ADUN, Hanafiah disenangi dan mendapat tempat di hati rakyat tanpa mengira usia. Buktinya, beliau mendapat pertambahan majoriti setiap kali pilihan raya umum (PRU). Pada PRU-13 iaitu pada 2013, Hanafiah yang mewakili Pas menang dengan 12,457 undi iaitu dengan majoriti 2,446 undi.

Kemudian pada PRU-14 iaitu pada 2018, Hanafiah yang berdepan dengan pertembungan tiga penjuru bukan hanya mengatasi dua lawannya, malah memperoleh kemenangan besar dengan 12,428 undi, iaitu menang dengan pertambahan majoriti sebanyak 4,881 undian berbanding PRU-13. Pada Pilihan Raya Umum DUN ke-15 iaitu dua tahun lalu, Hanafiah menang bergaya dengan mendapat 18,394 undi dan majoriti 8,106 undi menewaskan lawannya.

Menurutnya, beliau bukan hanya mendapat undian daripada masyarakat Melayu di DUN itu, malah sokongan dan undian daripada kaum Cina dan India.

“Saya dan rakyat tiada perbezaan darjat, kita semua sama sahaja. Cuma saya dipilih menjadi wakil rakyat, itupun disebabkan kepercayaan dan undian rakyat. Tanpa rakyat, saya bukan siapa-siapa.

“Apa yang penting, saya perlu menjalankan tanggungjawab dengan penuh dengan amanah dan menjaga kebajikan kepada rakyat yang telah memberi undi kepada saya. Dari dahulu, saya pegang prinsip jangan kedekut dan sombong dengan rakyat, saya suka jadi seorang yang ‘senang kira, mudah baser’ (mudah dan senang berurusan),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN