KUALA LUMPUR: Seramai 55 pengamal media dan bekas pengamal media yang memerlukan dibantu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menerusi bantuan tunai dan sokongan peralatan perubatan berjumlah RM55,500.
Daripada jumlah itu, seramai 50 penerima masing-masing menerima bantuan tunai berjumlah RM1,000 seorang, manakala lima lagi dibantu menerusi bantuan sokongan peralatan perubatan berjumlah RM5,500.
Sumbangan sokongan perubatan pada kali ini merupakan inisiatif baharu dalam membantu pengamal media yang memerlukan yang mana nilainya sehingga RM3,000 setiap seorang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, media berperanan besar bukan sekadar menyebarkan maklumat dan agenda kerajaan, malah turut berperanan mendidik masyarakat, membina persepsi dan memacu kefahaman awam.
“Sama ada akhbar, radio, televisyen mahupun media sosial, kesannya amat luas, mampu membentuk cara fikir rakyat sama ada secara positif atau sebaliknya.
“Justeru, media yang beretika sudah tentu memastikan laporan yang disampaikan bebas daripada fitnah, sangkaan jahat dan berita palsu.
“Dalam era digital kini, sesiapa sahaja boleh menjadi penyampai maklumat. Namun, di sinilah letaknya kelebihan dan peranan media profesional untuk menapis, menyaring dan menangkis maklumat tidak sahih agar tidak membawa mudarat kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi & Amal YAPEIM Bersama Media 2025, di sini Selasa lalu.
Turut diraikan pada majlis itu pengamal-pengamal media daripada kelab media iaitu Kelab Media KL dan Selangor (KLS); Kelab Media Putrajaya (KMP); Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA); Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan Tabung Kasih @ HAWANA.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Abdul Khudus Mohd Naaim berkata, kerjasama yang amat baik diberikan pihak media membolehkan masyarakat lebih mengenali YAPEIM daripada sudut positif.
Katanya, ia sekali gus menaikkan imej YAPEIM di mata masyarakat yang sentiasa ke hadapan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik di negara ini.
“Usaha ini juga sebagai salah satu inisiatif menghargai peranan pengamal serta organisasi media di negara ini terutama dalam melaporkan berita berkaitan YAPEIM kepada masyarakat.
“Secara keseluruhan sejak 2023 sehingga tahun ini YAPEIM telah menyalurkan RM155,500 kepada pengamal media yang memerlukan,” katanya.
Untuk rekod, sehingga September lalu, YAPEIM mengagihkan lebih RM721 juta membabitkan lebih 10 juta penerima manfaat di seluruh negara sejak tahun 1985.
Ini membabitkan pelbagai teras program iaitu Pembangunan Ekonomi Islam, Pembangunan Pendidikan dan Pembangunan Kemasyarakatan yang dilakukan secara inklusif dan sistematik. – UTUSAN