SEPANG: Sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan Israel sejak 20 jam lalu dijangkakan mula dipindahkan ke darat untuk tindakan seterusnya.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan kelibat beberapa kapal seperti Sirius dan Estrella yang dilihat mula memasuki Pelabuhan Ashdod di Israel.
“Laporan mengesahkan melihat kapal-kapal seperti Sirius dan Estrella mula masuk ke Pelabuhan Ashdod di Ashkelon.
“Jadi, untuk kesemua mereka ini, kita telah buat satu keputusan selepas 20 jam yang mana yakin bahawa mereka sudah mula dipindahkan.
“Secara terperinci belum lagi adakah itu rakyat Malaysia (atau sebaliknya), tetapi melihat kepada kapal yang mula masuk, kita jangkakan antara yang sampai dahulu ialah Alma dan Sirius,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini tadi.
Untuk rekod, kapal Alma dinaiki oleh Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil, manakala, kapal Sirius pula dinaiki Haikal Abdullah, Muaz Zainal dan Zulfadhli.
Sementara itu, kapal Estrella pula dinaiki oleh Pencetus Ummah Rahmat, Norhelmi, Mohd. Asmawi dan Norazman. – UTUSAN