SEREMBAN: Golongan warga emas di negara ini dinasihatkan untuk kekal aktif dan menjaga kesihatan diri masing-masing ketika Malaysia bakal mencapai status negara tua menjelang tahun 2030.
Trend penuaan di negara ini yang cenderung menjadikan jangka hayat rakyat Malaysia meningkat perlu dipandang serius oleh semua pihak khususnya golongan warga emas untuk sentiasa bergerak aktif.
Tokoh Warga Emas Tahun 2025, Dr. Tee E Siong, 78, berkata, warga emas masih tetap perlu produktif dalam memberi sumbangan kepada negara dan masyaraka sekali gus menjadi contoh teladan kepada warga emas yang lain.
“Saya harap warga emas boleh menjadi teladan kepada warga emas yang lain supaya terus bergerak aktif menyumbang kepada negara, menyumbang kepada masyarakat. Membangunkan negara lebih lagi.
“Jangan duduk diam di rumah. Kalau kita terus aktif, minda kita terus aktif dan kesihatan kita pun boleh terus dijaga. Walaupun hidup panjang (jangkaan negara menua), tetapi mesti ada aktiviti.
“Masih hidup sihat dan gembira. Jangan umur panjang tetapi tak sihat. Setiap kali masuk hospital, jumpa doktor. Itu bukan warga emas yang kita harapkan. Kita mesti terus menjaga kesihatan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Sambutan Warga Emas Kebangsaan 2025 di sini semalam yang dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Sementara itu, Nancy berkata, peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia daripada 63 tahun kepada 76 tahun adalah hasil usaha bersama dalam penjagaan kesihatan dan kesejahteraan hidup golongan berkenaan.
“Pada 2024 (tahun lalu), kita sudah mempunyai 3.9 juta warga emas, bersamaan hampir 12 peratus daripada keseluruhan populasi. Namun persoalannya, adakah warga emas (menjadi) beban?
“Tidak sama sekali. Mereka adalah aset berharga negara, penyimpan hikmah, penghubung generasi, dan teladan yang wajar kita sanjung,” katanya.
Pada majlis itu juga, beliau turut merasmikan simbolik Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) yang merangkumi lima dimensi utama iaitu dimensi kesihatan, sosial, ekonomi, kerohanian dan persekitaran.-UTUSAN









