Warga asing kahwin rakyat Malaysia layak mohon pas kerja

Warga asing kahwin rakyat Malaysia layak mohon pas kerja, tinggal secara sah

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasangan warga asing yang berkahwin dengan rakyat Malaysia layak memohon Pas Lawatan Sosial Pasangan kepada Warganegara bagi membolehkan mereka menetap secara sah di negara ini dan bekerja dengan kebenaran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pas berkenaan boleh diperbaharui setiap tahun selagi perkahwinan tersebut kekal sah dan pasangan masih hidup bersama sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, katanya, jika pasangan tersebut berpisah, kelayakan untuk memperbaharui pas berkenaan secara automatik terbatal kerana individu tersebut tidak lagi dianggap pasangan sah kepada warganegara Malaysia.

“Bagaimanapun, mereka dibenarkan memohon Pas Balu atau Janda sekiranya memenuhi syarat ditetapkan atau sebagai alternatif boleh mengemukakan permohonan Pas Residen, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa imigresen,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH–Sungai Petani) yang meminta penjelasan mengenai kriteria kelayakan, proses permohonan, tempoh sah laku dan sama ada permit baharu bagi pasangan bukan warganegara yang bercerai, berpisah atau balu serta mempunyai anak warganegara Malaysia membenarkan penetapan dan pekerjaan tanpa sekatan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, bagi pasangan bukan warganegara yang mempunyai anak hasil perkahwinan dengan warganegara Malaysia, Pas Residen adalah lebih sesuai bagi membolehkan mereka terus tinggal dan bekerja di negara ini untuk menyara kehidupan.

“Pas Residen membenarkan pemegangnya tinggal di Malaysia selama lima tahun dan boleh diperbaharui tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.

“Pertimbangan pemberian pas ini dibuat dengan mengambil kira kepentingan dan kebajikan anak warganegara agar hak penjagaan serta kesejahteraan anak terus terjamin,” katanya.

Menurut beliau, pemegang Pas Residen juga dibenarkan bekerja sama ada di sektor formal atau bekerja sendiri bagi menyara diri dan keluarga.

“Langkah ini selaras dengan pendekatan Kerajaan Madani yang menekankan nilai kemanusiaan serta kesejahteraan rakyat.

“Ia membolehkan pasangan warga asing yang mempunyai anak warganegara menunaikan tanggungjawab keibubapaan secara sah dan berterusan,” katanya.

Tambahnya, kemudahan imigresen yang disediakan kepada pasangan bukan warganegara bukan sahaja melindungi kepentingan anak warganegara Malaysia, malah menjamin kestabilan institusi kekeluargaan dan meningkatkan penyertaan ekonomi.

“Dasar imigresen ini mencerminkan pendekatan yang berperikemanusiaan dan mampan tanpa menjejaskan kedaulatan serta keselamatan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN