ALOR SETAR: Kegelisahan semakin memuncak di bandar raya ini apabila penduduk dan pemilik premis perniagaan mula menerima ‘surat putih’ daripada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) yang memaklumkan kadar baharu cukai taksiran atau cukai pintu dengan sebahagian kenaikan dilaporkan mencecah lebih 200 peratus.
Maklumat diperoleh Utusan Malaysia kadar baharu ditetapkan pada 0.1 peratus bagi kediaman dan 0.3 peratus untuk premis perniagaan, berdasarkan nilai pasaran semasa hartanah, bukan lagi kepada nilai sewa tahunan seperti amalan sebelum ini.
Kesan daripada penilaian semula itu amat ketara. Banyak rumah teres lama yang sebelum ini dikenakan cukai antara RM200 hingga RM400 setahun meningkat kepada RM800 hingga RM1,200 setahun. Dalam kes tertentu, kadar cukai melonjak sehingga 981 peratus, seperti dialami pemilik tanah pertanian di Jalan Pokok Sena yang kini perlu membayar RM8,340 setahun berbanding RM771 sebelum ini.
MBAS dalam penjelasan terdahulu menyatakan semakan kadar baharu itu dibuat selepas 33 tahun kadar lama tidak pernah disemak bagi menyesuaikan dengan nilai hartanah semasa. Namun, alasan itu sukar diterima masyarakat tempatan yang menyifatkan pendekatan itu ‘tidak berperikemanusiaan’ dan dilakukan tanpa mempertimbangkan kemampuan rakyat.
naik tidak munasabah
Penduduk, Lim Ah Lai, 81, berkata, kenaikan tersebut memberi kesan besar kepada golongan warga emas yang bergantung pada pendapatan tetap.
“Rumah pusaka lama saya sebelum ini cukainya hanya RM292 setahun, kini jadi RM976.80. Itu peningkatan lebih 234 peratus. Saya benar-benar terkejut bila lihat notis baharu. Ini bukan kenaikan biasa, tetapi seperti menindas,” katanya.
Katanya, ramai gusar dan bingung mencari jalan untuk menampung bayaran baharu yang berlipat ganda.
“Kalau naik sedikit demi sedikit, kami boleh terima. Tapi bila naik dua atau tiga kali ganda, ia menekan rakyat,” katanya.
Bagi Siti Norhidayah Ahmad, 42, tindakan menaikkan kadar selepas lebih tiga dekad tanpa semakan tidak seharusnya dijadikan alasan mengenakan kadar yang mendadak.
“Kalau semakan lima tahun sekali, kenaikan tidak akan terasa seteruk ini tetapi bila buat sekaligus selepas 30 tahun, rakyat jadi mangsa,” katanya.
Menurut wakil Persatuan Kebajikan Orang-Orang Tiong Hua Simpang Empat, Lo Thiang Chooi, penduduk tidak menolak keperluan penyelarasan cukai, namun perlu dilakukan berperingkat.
“Lebih 2,000 rumah sekitar Simpang Empat termasuk kawasan lama dan baharu terbabit. Ada lebih 100 kes menunjukkan kenaikan antara 35 hingga 234 peratus. Ini kawasan pinggir bandar, bukan bandar, jadi kenaikannya melampau dan tidak wajar,” katanya.
Peniaga kecil terjejas
Kesan kenaikan ini turut dirasai golongan peniaga dan penjaja tempatan. Menurut Yang Dipertua Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Malaysia (Gapema) Kedah, Baharudin PM Mohamed Ali, ramai ahli persatuan kini berada dalam dilema.
“Ramai ahli kami memiliki kedai makan dan restoran kecil. Dengan cukai baharu ini, kos operasi akan melonjak. Kami minta kerajaan negeri dan MBAS pertimbang naikkan secara berperingkat supaya tidak membebankan,” katanya.

Baharudin menjelaskan, pihaknya sudah berhubung dengan Datuk Bandar Alor Setar berhubung isu tersebut dan diminta mengemukakan bantahan rasmi mengikut saluran yang disediakan MBAS.
“Kita faham penilaian semula itu perlu selepas lebih 30 tahun, tapi biarlah dengan pertimbangan sewajarnya, jangan sampai peniaga gulung tikar,” katanya.
Ekonomi perlahan
Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah, Datuk Mohd. Zayad Md. Ismail menegaskan bahawa kenaikan mendadak cukai taksiran memberi kesan domino terhadap ekonomi bandar raya ini.
“Kadar melebihi 200 peratus dalam banyak kes akan menimbulkan beban berat kepada pengusaha tempatan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Apabila cukai meningkat, kos operasi juga naik, akhirnya ramai peniaga mungkin tutup operasi atau berpindah ke lokasi lain yang lebih murah,” katanya.
Keadaan itu menjejaskan kadar sewaan komersial, mengurangkan aktiviti perniagaan dan mewujudkan situasi ‘zon kos tinggi, aktiviti rendah’ di pusat bandar.
“Kalau tak dikawal, Alor Setar boleh jadi bandar raya mati pada waktu malam. PBT perlu lihat kesan ekonomi secara menyeluruh, bukan hanya hasil kutipan semata-mata,” katanya.
Mohd. Zayad turut menegur aspek komunikasi MBAS yang dianggap kurang menyeluruh apabila penduduk menerima notis kenaikan tanpa penjelasan terperinci.
“MBAS ada sediakan kaedah semakan dan pembayaran secara dalam talian, tetapi maklumat tentang asas penilaian dan sebab kenaikan tidak jelas. Ini menimbulkan kekeliruan dan kemarahan di kalangan rakyat,” katanya.
Kaji semula kadar
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyeru MBAS menangguhkan pelaksanaan kadar baharu sementara proses semakan dan rayuan dibuat.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Putra Mergong, Norizan Abd. Rahman, berkata PBT sepatutnya membuka sesi libat urus awam sebelum menandatangani kelulusan kadar baharu.
“Kalau rakyat diberi penerangan dan ruang berbincang, mungkin keadaan tak jadi setegang ini,” katanya.
Pihaknya kini sedang mengumpul tandatangan bagi membantah kadar baharu itu dan akan menyerahkannya kepada Datuk Bandar dalam masa terdekat.
campur tangan negeri
Di peringkat negeri, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dan kerajaan menyuarakan kebimbangan dan menggesa kerajaan negeri Kedah campur tangan dan menilai semula kesan kenaikan terhadap rakyat.
Seorang ADUN yang enggan namanya disiarkan berkata, isu cukai taksiran bukan semata-mata soal kewangan PBT, tetapi melibatkan kesejahteraan sosial rakyat.
rakyat menanti keputusan
Dalam masa sama, MBAS membuka tempoh rayuan rasmi selama 30 hari bagi pemilik hartanah yang tidak berpuas hati dengan kadar baharu. Namun, ramai penduduk masih tidak jelas prosedur bantahan dan berharap MBAS tampil memberi penjelasan secara terbuka.
MBAS perlu turun padang, bukan hanya keluarkan kenyataan di media sosial. Bila rakyat diberi ruang bersuara, barulah mereka faham rasional keputusan itu.
Walaupun MBAS menegaskan kenaikan itu perlu bagi menampung keperluan penyelenggaraan infrastruktur dan perkhidmatan bandar raya, realitinya, majoriti warga Alor Setar kini menunggu langkah seterusnya daripada pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri, sama ada mendengar suara rakyat atau kekal dengan keputusan yang dianggap ‘tidak realistik.
Bagi penduduk seperti Lim Ah Lai, harapan mereka sederhana: “Kami bukan minta dikecualikan cukai, cuma biarlah kenaikan itu berpatutan. Jangan sampai rakyat rasa ditindas di tanah sendiri.”.










