Wani Kayrie tampil buat kejutan, 3,000 pelajar bersorak riang - Utusan Malaysia

Wani Kayrie tampil buat kejutan, 3,000 pelajar bersorak riang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Wani Kayrie, tampil membuat kejutan istimewa di hadapan 3,000 pelajar semasa Majlis Apresiasi Semarak Merdeka, baru-baru ini. 

Kemunculan penyanyi berusia 25 tahun yang mesra disapa sebagai Wani itu disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh, malah ramai pelajar melompat kegirangan sebaik beliau mendendangkan lagu Cak Cak Cekuk.

Lebih manis, kehadiran Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah merupakan simbol penghargaan kepada para pelajar yang pernah terlibat sebagai ‘human graphic’ ketika persembahannya dalam sambutan Hari Kemerdekaan 2025 yang lalu.

“Saya sangat tersentuh melihat semangat mereka. Walaupun muda, semangat cintakan negara mereka sangat luar biasa,” katanya.

Wani turut menegaskan bahawa kehadirannya bukan sekadar sebagai artis, sebaliknya sebagai seorang kakak yang mahu menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua pelajar, guru pengiring serta pihak penganjur atas komitmen mereka menjayakan acara berkenaan.

“Hari ini saya datang bukan sebagai artis, tetapi sebagai kakak yang ingin mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua peserta, guru pengiring, dan pihak penganjur terima kasih,” katanya.

Mengulas lanjut, Wani menyifatkan penganjuran majlis sebegini perlu diteruskan setiap tahun bagi menyemarakkan semangat patriotik dan memupuk minat dalam bidang seni dalam kalangan generasi muda.

“Majlis ini bagi saya sangat bermakna untuk mereka yang terlibat.

“Saya rasa, majlis yang meriah ini perlu diteruskan setiap tahun sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan bakat seni dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya.

Majlis Apresiasi Semarak Merdeka dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai tanda penghargaan kepada pelajar dan guru yang terlibat dalam persembahan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN