Vivy Yusof, suami dapat pasport sementara

Vivy Yusof, suami dapat pasport sementara

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur membenarkan Vivy Yusof dan suami, Fadzarudin Shah Anuar mendapatkan passport bagi membolehkannya mereka menghadiri program Islamik di Istanbul, Turkiye dan Bosnia-Herzegovina.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pengasas FashionValet Sdn. Bhd., Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar untuk mendapatkan pasport antarabangsa mereka buat sementara waktu bagi menghadiri program keagamaan di luar negara.

Permohonan itu dibuat bagi membolehkan pasangan berkenaan menghadiri program Islamik di Istanbul, Turkiye dan Bosnia-Herzegovina.

Hakim Rosli Ahmad membenarkan permohonan tersebut selepas mendengar hujah peguam bela, Shaarvin Raaj yang mewakili pasangan itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash Somiah berkata, pihak pendakwaan telah dimaklumkan mengenai permohonan berkenaan dan tidak membantah permohonan pasangan suami isteri tersebut.

“Mahkamah membenarkan permohonan ini dan mengarahkan pasport diserahkan kepada kedua-dua pemohon bermula hari ini hingga 12 November sebelum dikembalikan semula kepada mahkamah pada 13 November ini,” katanya ketika prosiding.

Sebelum ini, mahkamah turut membenarkan permohonan Vivy dan Fadzarudin untuk mendapatkan pasport bagi menunaikan umrah pada Disember tahun lalu.

Pada 5 Disember 2024, Vivy dan Fadzarudin selaku Pengarah FashionValet Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta dengan membuat pembayaran daripada akaun bank FashionValet kepada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, Plaza Damansara, Bukit Damansara di sini, pada 21 Ogos 2018.

Pasangan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Mereka juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu menyalahgunakan harta milik dana pelaburan berkenaan di lokasi dan tarikh sama.

Pertuduhan pilihan itu dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan bermula 13 hingga 17 April 2026.

Mahkamah turut menetapkan 18 hingga 22 Mei dan 8 hingga 12 Jun 2026 untuk perbicaraan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN