Prihatin terhadap kesempitan hidup, UTeM hulur bantuan awal pengajian termasuk biasiswa anak emas.
Kisah kesempitan dalam kehidupan dua orang pelajar bersama keluarga mereka di Kelantan telah mendapat perhatian daripada pihak pengurusan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi menghulurkan bantuan awal pengajian.
Kedua-dua pelajar tersebut iaitu Mas Mariam Ramli, 22, dan Muhammad Aiman Alif Zai Zi Fikri, 19, merupakan pelajar baharu yang telah mendapat tawaran bagi mendaftar dan memulakan pengajian di UTeM pada 29 September lalu adalah keluarga yang berbeza.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr Massila Kamalrudin berkata, meneliti keadaan kesukaran dalam menyara hidup bagi dua dua orang pelajar baharu ini, UTeM prihatin dan segera bertindak dengan menghulurkan bantuan awal pengajian kepada kedua-duanya.
“UTeM telah berkunjung ke kediaman kedua-dua pelajar ini di rumah mereka di Kelantan sejurus mendapat perkhabaran bagi menyampaikan bantuan awal pengajian.
“Mas Mariam telah ditawarkan Biasiswa Anak Emas UTeM bersama pakej bantuan awal pengajian termasuk wang tunai RM1,500., inisiatif Food Bank, penginapan asrama hingga tamat pengajian, bimbingan kaunseling dan kerjaya kepadanya sehingga berjaya dalam pelajaran.
“Muhammad Aiman Alif pula diberikan pakej bantuan awal pengajian termasuk wang tunai RM1,500 serta inisiatif Food Bank,” katanya.
Bantuan UTeM tersebut disampaikan oleh wakil Naib Canselor UTeM, Pengarah Pembangunan Pelajar & Alumni, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr. Hazli Rafis Abdul Rahim bersama dengan Timbalan Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global (UGLOBE), Mohd. Khairul Nizam Suhaimin, baru-baru ini.
Mas Mariam merupakan anak bongsu daripada sembilan adik beradik, dua orang telah meninggal dunia, kini berdepan dengan kesukaran dalam menyara kehidupan ekoran bapanya Ramli Husin ,62, menghidap penyakit angin ahmar dan berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) fizikal sejak 13 tahun yang lalu.Mas Mariam berkata , ibunya Rohani Mohamad ,63, pula kini bergelut dengan permasalahan penyakit diabetes, darah tinggi dan kolesterol tentunya menambah lagi bebanan dan keperitan mereka sekeluarga dalam menyara kehidupan seharian.
“Ingin mengharap bantuan daripada adik beradik yang lain pun memang sukar kerana masing-masing tidak mempunyai pendapatan yang stabil di samping dua orang abang lagi pula berstatus OKU (lembam).
“Namun dengan bantuan awal pengajian termasuk Biasiswa Anak Emas daripada UTeM memberikan sinar baharu kepada saya untuk mencapai cita-cita menerusi program Ijazah Sarjana Muda
Pengurusan Teknologi dengan Kepujian (Inovasi Teknologi) bermula pendaftaran di UTeM pada 29 Oktober nanti.
“Saya amat berterima kasih kepada UTeM kerana prihatin dan cakna dengan keadaan saya sekeluarga, justeru saya bertekad dan berazam untuk bersungguh-sungguh mengikuti pengajian di UTeM sehingga berjaya cemerlang,” ujarnya. – UTUSAN