HULU TERENGGANU: “Walaupun dia pernah nyatakan hasrat ingin syahid di bumi Gaza, sebagai bu saya tetap berdoa dan mengharapkan dia pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.”
Demikian luah Nooraini Mamat, 59. ibu kepada penceramah bebas yang juga aktivis kemanusiaan, Muhammad Abdullah, 32, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kecik (UMK) yang semalam dilaporkan ditahan secara tidak sah oleh Tentera Pertahanan Israel (IDF) ketika menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Nooraini berkata, kali terakhir dia berhubung dengan anak keempat dari enam beradik itu adalah pagi Khamis lalu melalui aplikasi WhatsApp yang meminta didoakan keselamatan kerana katanya doa seorang ibu mustajab.
“Sebelum berangkat sertai misi tersebut, dia ada luahkan impiannya untuk berjuang membantu rakyat Gaza. Dia juga tidak menolak kemungkinan syahid di sana dan itu juga antara hasratnya.
“Sejak hari pertama dia berangkat, saya tidak putus berdoa semoga Allah SWT selamatkannya. Saya juga tawakal dan reda dengan sebarang kemungkinan yang berlaku. Hampir setiap hari juga, kami berhubung sehinggalah awal pagi semalam.
“Saya sentiasa memantau perkembangan semasa GSF melalui media sosial selain dimaklumkan anak-anak atau ahli keluarga,” katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Kuala Dura, di sini.

NOORAINI Mamat menunjukkan video Muhammad Abdullah atau Ustaz Mad Kecik yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla ketika ditemui di Masjid Kampung Kuala Dura, Hulu Terengganu. – UTUSAN/ NOOR HAYATI MAMAT
Menurut Nooraini, anaknya itu kali pertama ke Gaza dan berlepas ke bumi bergolak itu melalui perubuhan bukan kerajaan (NGO), Iman Care namun sebelum ini sudah terbabit dalam pelbagai misi kemanusiaan termasuk ke Syria, Kemboja serta Sabah.
Katanya, Muhammad suka membantu orang susah dan berjiwa besar walaupun fizikalnya kecil yang mana seandainya inginkan sesuatu, dia mengusahakannya sehingga berjaya.
“Kebiasaannya juga, dia selalu beritahu saya sebelum ke mana-mana termasuk jika ingin sampaikan ceramah di mana- mana tempat. Sebagai ibu, tentunya saya mahu dia selamat pulang selepas sertai GSF tetapi kalau ditakdirkan syahid, saya reda,” katanya.
Sementara itu, akaun rasmi Sumud Nusantara Official mengesahkan penahanan aktivis Malaysia termasuk Muhammad yang juga Pengasas serta Timbalan Mudir Madrasah Darul Zahraa Wal Tahfizil Quran di Kampung Kuala Dura. – UTUSAN










